15 Mac, 2013

Hoki: Malaysia seri dengan Pakistan, harapan ke final masih ada

IPOH - Kedudukan Malaysia ke perlawanan akhir belum terjamin apabila seri 2-2 dengan Pakistan pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah Ke-22 di sini, semalam.

Malaysia yang mengekalkan rekod tanpa kalahnya dalam empat perlawanan berjaya mengutip lapan mata berada di tangga kedua.

Australia kekal menghuni tangga teratas berbekalkan lapan mata tetapi mempunyai kelebihan jaringan gol berbanding Malaysia.

Kesungguhan skuad negara untuk menumpaskan Pakistan terpancar apabila semua pemain negara melakukan asakan sejak minit pertama permainan.

Anak-anak buah Paul Revington memerlukan kemenangan bagi membolehkannya layak ke perlawanan akhir bagi kali keempat sejak piala itu diperkenalkan pada tahun 1983 lalu.

Malaysia pernah layak ke perlawanan akhir pada tahun 1985, 2007 dan 2009 tetapi gagal menjulang piala tersebut.

Skuad negara akan berdepan India dalam perlawanan terakhir, esok.

Anak buah Revington mengambil masa enam minit sahaja untuk membolosi pintu gol Pakistan melalui rembatan kencang Faisal Shaari.

Pukulan sudut penalti yang deras oleh Faisal berjaya menumpaskan penjaga gol Pakistan, Imran Butt bagi membolehkan Malaysia berada di hadapan.

Selepas itu, Pakistan mendapat tiga pukulan sudut penalti berturut-turut menyebabkan pertahanan Malaysia terpaksa bekerja keras mempertahankan pintu golnya.

Bagaimanapun, pukulan sudut pendek oleh Muhammad Imran pada minit ke-15 berjaya menumpaskan penjaga gol, S. Kumar untuk gol penyamaan.

Dalam pada itu, jentera serangan Malaysia yang terdiri Faisal, Chua Boon Huat dan Mohd Shahrun Nabil Abdullah terlepas beberapa peluang cantik untuk menambah jaringan gol.

Awal separuh masa kedua, Malaysia memperolehi dua pukulan sudut penalti tetapi ketangkasan penjaga gol Pakistan, Imran Butt menyebabkan skuad negara gagal menambahkan jaringan.

Akhirnya, Malaysia kembali ke depan apabila pukulan sudut penalti yang kencang oleh Muhammad Razie Abd Rahim gagal ditepis oleh Imran Butt pada minit ke-52.

Walaupun lebih 12,000 penyokong tempatan memberi sokongan padu kepada pemain negara tetapi mereka gagal menambahkan jaringan.

Sebaliknya, Pakistan berjaya menyamakan kedudukan melalui kuisan Ali Shan setelah berlaku pergelutan di depan pintu gol Malaysia pada minit ke-62.

Sebelum itu, Australia gagal mengutip mata penuh setelah seri 3- 3 dengan Korea Selatan.

Juara bertahan, New Zealand mencatat kemenangan kedua menumpaskan India 2-0 bagi menduduki tangga ketiga.

Selepas berhempas pulas selama 40 minit, New Zealand mendapat gol yang dinantikan melalui pukulan sudut yang disempurnakan oleh Andy Hayward pada minit ke-40.

Pukulan sudut penalti Cory Bennett mengukuhkan lagi kedudukan New Zealand dengan gol kedua pada minit ke-57.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sukan/20130315/su_01/Peluang-kita-masih-ada#ixzz2NYoIqk3P
© Utusan Melayu (M) Bhd


EmoticonEmoticon