20 Mac, 2013

Komen 'tiada penyerang berkualiti' undang padah Rajagobal?

PETALING JAYA - Komen ikhlas Datuk K. Rajagobal bahawa saingan Liga Malaysia tidak lagi menghasilkan penyerang berkualiti kelmarin, mengundang padah apabila beliau mungkin berdepan tindakan daripada Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sama ada kenyataan beliau kelmarin bahawa sejak dua tahun lalu saingan liga tempatan ketandusan dalam melahirkan penyerang berbisa melanggar Artikel 88 atau beliau akan disiasat di bawah Kod Tatatertib yang lain, ia belum dipastikan.

Walau apa pun, Rajagobal perlu bersedia menerima segala kemungkinan jika FAM berhasrat untuk membuat dakwaan terhadap beliau.

Penolong Setiausaha Agung FAM, Datuk Ahmad Fuad Daud, mengakui Jawatankuasa Tatatertib yang bersidang petang semalam, secara sepintas lalu ada membincangkan mengenai kenyataan Rajagobal.

“Mungkin selepas minggu depan (selepas selesai kes pergaduhan pemain ATM dan Selangor) kami akan melihat apa yang diperkatakan oleh Rajagobal," katanya ketika ditemui di Wisma FAM.

Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Arab Saudi, Ahad lalu berkata, skuad negara ketiadaan penyerang berkualiti dalam saingan liga.

Tambahnya, sudah tidak ada lagi pemain seperti Safee Sali yang mampu bertindak sebagai penyerang sejak dua tahun lalu.

Namun pengurus Harimau Malaya, Datuk Subahan Kamal mempertahankan tindakan Rajagobal yang berkata, sebagai jurulatih, beliau berhak memberi pandangan.

“Bukan Datuk Rajagobal sahaja, saya sendiri pun tidak selesa (isu ketiadaan penyerang) kerana kita mempunyai ramai pemain berbakat tetapi ketandusan penyerang berkualiti.

“Namun saya rasa kenyataan Rajagobal tidak melanggar Artikel 88," katanya.

Namun, Subahan memberi amaran kepada Rajagobal supaya memberikan sesuatu kepada Harimau Malaya atau kemungkinan kontraknya yang akan berakhir sehingga hujung tahun ini tidak akan disambung.

“Sekiranya seorang jurulatih tidak memberikan apa yang diharapkan, sampai ada masanya kena bagi laluan kepada orang lain.

“Rajagobal ada kontrak sehingga hujung tahun ini, sambung atau tidak, ia akan ditentukan oleh Tuanku Presiden (Sultan Ahmad Shah) dan Setiausaha Agung FAM.

“Namun, segalanya kita akan tengok kepada pencapaian Piala Suzuki AFF lalu dan Kelayakan Piala Asia 2015 ini," katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib semalam juga memutuskan 27 atau 28 Mac ini sebagai tarikh untuk memanggil pemain ATM dan Selangor yang bergaduh ketika pusingan pertama Piala FA pada 25 Januari lalu untuk memberi keterangan.

Utusan


EmoticonEmoticon