26 Mac, 2013

Live Streaming | Malaysia vs Palestine | International Friendly | 26 Mac 2013

Live Streaming Malaysia vs Palestine
International Friendly (Charity Match)
Stadium Darul Makmur
8:45 PM
KUANTAN - Skuad Harimau Malaya akan memberi persembahan terbaik dalam perlawanan amal antarabangsa menentang Palestin di Stadium Darul Makmur di sini walaupun ketiadaan beberapa tonggak malam ini.

Jurulatih kebangsaan, Datuk K.Rajagobal berkata, ketiadaan pemain utama disebabkan beberapa pemain Kelantan dan PKNS beraksi pada perlawanan pusingan kedua Piala FA yang berlangsung semalam.

Menurutnya, antara pemain tersebut ialah Khairul Fahmi Che Mat, Mohd. Helmi Remeli, Mohd. Shakir Shaari dan Mohd. Badhri Radzi.

Selain itu, pemain sayap kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Noor pula sudah berangkat ke Jepun semalam, manakala penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha meminta dikecualikan kerana mempunyai komitmen keluarga.

"Ketiadaan beberapa pemain utama tidak menghalang skuad kebangsaan untuk meneruskan momentum selepas meraih kejayaan menewaskan Yemen 2-1 di ibu negara minggu lalu.

"Saya memberitahu kepada pemain bahawa semua perlawanan yang disertai amat penting termasuk perlawanan amal ini kerana ia akan menjadi panduan kepada mereka dalam memperbaiki mutu permainan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar mengenai perlawanan amal tersebut di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad dan Ketua Jurulatih Palestin, Jamal Mahmoud.

Rajagobal berkata, walaupun perlawanan itu untuk tujuan amal tetapi beliau menasihati pemain supaya tidak memandang rendah keupayaan Palestin yang mempunyai beberapa pemain terbaik.

"Kita akui skuad Palestin merupakan pasukan terbaik dan akan memberi tentangan sengit walaupun ia merupakan perlawanan amal," ujarnya.

Bagi Jamal pula, pihaknya gembira untuk menentang pasukan Malaysia yang dianggap perlu diberi perhatian oleh pemainnya.

Bagaimanapun katanya, beberapa pemain pasukannya juga tidak dapat beraksi selepas menyertai satu kejohanan liga yang berlangsung di Maldvies minggu lalu.

"Kami mengetahui tentang kekuatan pasukan Malaysia dan akan mempamerkan persembahan terbaik untuk mencari kemenangan di sini," jelasnya.

Dalam pada itu, Azzuddin berkata, perlawanan amal tersebut bertujuan untuk mengisi Tabung Perwira Lahad Datu dan Palestin dengan mensasarkan kutipan sebanyak RM1 juta.

"Orang ramai yang ingin menyaksikan perlawanan tersebut boleh mendapatkan tiket di Stadium Darul Makmur pada harga RM20 untuk dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak.

"Saya menyeru peminat bola sepak tanah air turun menyaksikan perlawanan ini," katanya.


EmoticonEmoticon