27 Mac, 2013

Perlawanan Amal, Palestin ‘ajar’ Harimau Malaya

KUANTAN - Skuad Harimau Malaya tewas 0-2 pada perlawanan amal antarabangsa menentang Palestin di Stadium Darul Makmur di sini, semalam.

Dua jaringan masing-masing satu daripada Khaled J.A. Salem pada minit ke-39 dan Ashraf N.O. Alfawaghra minit ke-90 cukup untuk meranapkan harapan tuan rumah untuk mencari penyamaan.

Malah, skuad negara yang baharu mencatat kemenangan 2-1 menentang Yemen dalam saingan kelayakan Piala Asia 2015, baharu-baharu ini seolah-olah hilang rentak dengan persembahan kurang memberangsangkan sepanjang perlawanan.

Bermula separuh masa pertama, kedua-dua pasukan dilihat menguji benteng pertahanan masing-masing dengan melancarkan beberapa serangan ke kubu lawan.

Pada minit ke-27, pemain pasukan pelawat, Iyad A.S. Gharqoud nyaris mencipta jaringan menerusi rembatan kencang bagi menguji kekebalan penjaga gol kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias.

Biarpun hanya berdepan dengan penjaga gol Palestin, Tawfiq A.Y. Abuhammad pada minit ke-30, pemain negara, Amri Yahyah gagal menggunakan peluang tersebut untuk menjaringkan gol.

Pada minit ke-39, gawang Malaysia akhirnya bocor apabila pemain Palestin, Khaled J.A. Salem melakukan sepakan libas cantik menewaskan Mohd. Farizal, meletakkan pelawat mendahului 1-0.

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Datuk K. Rajagobal membuat pertukaran ketiga penjaga gol pada minit ke-90 dengan memasukkan Ahmad Syihan Hazmi Mohamad menggantikan Norazlan Razali.

Belum pun sempat satu minit Ahmad Syihan Hazmi memasuki padang, Palestin dihadiahkan sepakan percuma dan berjaya menjaringkan gol kedua pasukan itu hasil jaringan Ashraf N.O. Alfawaghra.

Tiga minit dalam masa tambahan, pengadil, Sivakorn Puudom menghadiahkan sepakan penalti kepada Palestin namun, Husam I. A. Abusalah gagal menyempurnakannya apabila diselamatkan Ahmad Syihan Hazmi.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah dan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkenan menyaksikan perlawanan tersebut.

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Setiausaha Agung FAM, Datuk Aizuddin Ahmad dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong.

Turut hadir, Duta Palestin ke Malaysia, Abdul Elaziz Abu Ghoush.

Sebelum perlawanan yang dihadiri oleh kira-kira 30,000 penonton itu bermula, Sultan Ahmad Shah menerima beberapa sumbangan daripada pelbagai pihak untuk mengisi Tabung Bantuan Rakyat Palestin dan Tabung Wira Negara Lahad Datu dengan jumlah keseluruhan RM910,000 tidak termasuk jumlah jualan tiket.

Antara yang memberikan sumbangan adalah IOI Group RM100,000, Yayasan Sime Darby (RM100,000) dan Akademi Bola Sepak Frenz United (FUFA) dengan sumbangan RM100,000.


EmoticonEmoticon