17 April, 2013

Chong Wei, Pandalela dinobatkan Olahragawan, Olahragawati Negara 2012

PETALING JAYA – Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan ratu terjun negara Pandelela Rinong dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara 2012 di sini Selasa malam.

Bagi Chong Wei ini adalah kali keempat beliau menerima anugerah itu, dengan pertama kali menerima anugerah berkenaan pada tahun 2005 dan diikuti pada 2008 dan 2011.

Sementara Pandelela ini adalah kali kedua beliau menerima anugerah tersebut, pertama kali pada tahun lepas.

Chong Wei dan Pandelela masing-masing menerima trofi dan wang tunai RM20,000 daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Pandelela, 19, menyumbang pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-26 selain merangkul pingat gangsa bagi acara 10m platform individu pada Kejohanan Terjun Dunia Fina di Dubai tahun lepas.

Ratu terjun kebangsaan itu juga turut berada ditempat keempat pada kejohanan Terjun Dunia Fina di Moscow bagi acara 10m platform individu April tahun lepas serta memungut pingat gangsa bagi acara sama pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London.

Beliau juga menjadi atlet wanita Malaysia pertama menyumbang pingat dalam sejarah penglibatan Malaysia dalam Sukan Olimpik.

Sementara Chong Wei mengungguli pencapaian terbaik sepanjang tahun lepas termasuk menjadi juara dalam lima kejohanan antarabangsa antaranya kejohanan Super Series dan GP Emas Terbuka Malaysia.

Beliau juga dinobatkan sebagai naib juara sebanyak dua kali dalam Super Series di bawah kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Antara atlet lain yang turut dicalon bagi anugerah Olahragawati Kebangsaan ialah Nur Suryani Muhamed Taibi (menembak), Datuk Nicol Ann David (skuasy), Esther Cheah Mei Lan (tenpin boling), Chai Fong Ying (wushu), Quzandria Nur Muhamad Fathil (ekuestrian) dan Fateha Mustapa (berbasikal).

Sementara Muhd Syafiq Ridhwan Abdul Malek (tenpin boling), Bryan Nickson Lomas (terjun), Ricky Leong Tze Wai (karate), Sazali Abd Samad (bina badan), Khairul Anuar Muhamad (memanah) dan Yu Peng Kean (lawan pedang) turut dicalonkan bagi anugerah Olahragawan Kebangsaan.

Manakala pemenang pingat perak acara memanah pada Sukan Paralimpik London 2012, Hasihin Sanawi dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan.

Beliau menerima trofi dan wang tunai RM10,000 manakala untuk kategori Olahragawati Paralimpik Kebangsaan pula tiada calon yang layak.

SENARAI PENERIMA ANUGERAH:

1. Olahragawan Kebangsaan: Datuk Lee Chong Wei

2. Olahragawati Kebangsaan: Pandelela Rinong

3. Pasukan Lelaki Kebangsaan: Skuad Hoki Remaja Kebangsaan – Mohd Hazrul Faiz, Norhizat Sumantri, Faiz Helmi Jali, Muhamad Ramadhan Rosli, Shazrul Imran Nazli, Mohamad Syamim Mohd Yusof, Mohd Fitri Saari, Muhammad Noor Faieez Ibrahim, Shazril Irwan Nazli, Faizal Shaari, Dedy Ariyadi Jumaidi, Muhammad Aslam Mohammad Hanafiah, Muhammad Firhan Ashari, Amir Farid Ahmad Fuzi, Shahrul Azaddin Aus Karzie, Mohammad Izat Hakimi Jamaluddin, Kavin Kartik Govindasamy, Mohamad Azri Hassan

4. Pasukan Wanita Kebangsaan: Skuasy – Datuk Nicol Ann David, Low Wee Wern, Delia Odette Arnold, Siti Munirah Jusoh

5. Olahragawan Paralimpik Kebangsaan: Hasihin Sanawi

6. Jurulatih Lelaki Kebangsaan: Rashid Sidek (badminton)

7. Anugerah Kepimpinan Sukan: Datuk Abu Samah Abdul Wahab (berbasikal)

Datuk Seri Paul Mony Samuel (bola sepak)

8. Anugerah Tokoh Sukan 2012: Tan Sri Elyas Omar

9. Anugerah Khas 2012: Ng Chow Seng (angkat berat)

Muhammad Zulfahmi Khairuddin (permotoran)

- BERNAMA


EmoticonEmoticon