15 April, 2013

Piala Axiata: Malaysia juara, tewaskan Thailand 3-1

KUALA LUMPUR: Pasukan Malaysia muncul sebagai juara Piala Axiata selepas menewaskan Thailand 3-1 pada aksi akhir di Stadium KLBA, Cheras, Ahad.

Skuad negara yang gagal mara ke final tahun lalu berjaya mengungguli kejohanan bernilai US$1 juta (RM3.03 juta) ini dengan menyaksikan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei membuat penampilan mengejut buat kali pertama.

Chong Wei yang baharu menyambut kelahiran anak lelaki dua hari lalu, mengakui aksinya ini adalah keputusan di saat akhir.

"Saya tidak mahu bermain sebab baru menyambut kelahiran anak, Kingston tetapi saya mengambil keputusan untuk beraksi sebab mahu membantu negara mendapat tempat pertama.

"Jurulatih ada bertemu saya semalam (Sabtu) dan saya bersetuju. Kejohanan ini bagus kerana kita tidak pernah menang acara campuran selain Sukan Komanwel (Melbourne 2006 dan New Delhi 2010) dan ia manjadi faktor kenapa saya bersetuju.

"Saya gembira kerana berjaya menjalankan tugas saya dan berterima kasih kepada rakan sepasukan dan semua penyokong," jelasnya.

Satu lagi perlawanan melibatkan pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menang bergaya ke atas Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam, 21-16, 21-15.

Manakala pasangan beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut menang dengan mengetepikan Boonsak Ponsana-Songphon Anugritayawon, 21-10, 21-17.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor telah menyampaikan trofi serta replika cek bernilai $US400,000 kepada barisan skuad badminton tanah air.


EmoticonEmoticon