23 Mei, 2013

Dadah: Saiful Apek sekali lagi?

SAIFUL APEK (baju belang) bersama dua daripada tiga rakannnya iaitu Shaiful Baharom (baju putih hijau) dan Shah Zainatul (belakang) dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.
SHAH ALAM - Pelakon dan pelawak Saiful Apek yang sebelum ini dibebaskan daripada tuduhan memasukkan dadah kanabis ke dalam badan bersama tiga pekerjanya pada tahun lalu diperintahkan membela diri terhadap tuduhan itu oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Majistret di sini pada 25 Jun 2012.

Abdul Alim dalam penghakimannya berkata, Mahkamah Majistret terkhilaf ketika membuat keputusan terhadap Saiful Apek dan tiga rakannya kerana beliau tidak nampak ada kelompangan dalam kes pendakwaan.

"Oleh itu, mahkamah mengetepikan semua perintah yang dibuat oleh majistret sebelum ini dan mahkamah perlu mendengar kes tersebut," katanya.

Selain Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd. Saifulazam Mohamed Yusoff, 43, turut diarah membela diri ialah Shah Zainatul Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 29, Shaiful Baharom, 25, dan Noremy Mohamad, 29. Mahkamah menetapkan keempat-empat tertuduh itu membela diri di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 27 Mei ini.

Mereka berempat didakwa menggambil dadah kanabis di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada pukul 11 malam 12 Jun 2010.

Dakwaan terhadap keempat-empat tertuduh dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid ketika membebaskan kesemua tertuduh sebelum ini telah mengemukakan lima elemen utama berhubung penghakiman beliau.

Kosmo!


EmoticonEmoticon