22 Mei, 2013

Piala Sudirman: Malaysia tersingkir awal selepas diaibkan Jerman 2-3

SKUAD badminton negara mempamerkan rentak sumbang dalam Kejohanan Badminton Piala Sudirman 2013 apabila tersingkir awal selepas tewas 2-3 kepada Jerman dalam perlawanan terakhir Kumpulan C, di Stadium Putra Bukit Jalil, malam ini.

Keputusan itu bukan sahaja membuatkan misi malaysia untuk mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir berkecai, sebaliknya pasukan negara gagal mengulangi pencapaian dua tahun lalu untuk mara ke suku akhir.

Pada perlawanan tadi, beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying gagal menyumbangkan mata pertama kepada negara apabila dikejutkan Fuchs Michael dan Micheles Birgit dengan keputusan 17-21, 21-18 dan 17-21.

Malaysia kembali menyamakan kedudukan selepas pemain perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei mudah menundukkan Domke Dieter 21-18 dan 21-18.

Beregu lelaki, Lim Khim Wah dan Goh V Shem meneruskan kecemerlangan rakan sepasukan apabila menghadiahkan mata kedua buat Malaysia dengan menewaskan Kindervater Ingo dan Schoettler Johanners 21-16 dan 23-21.

Harapan yang disandarkan kepada Tee Jing Ying untuk memastikan kemenangan mutlak untuk negara tidak kesampaian apabila pemain itu gagal menandingi kehebatan Konon Birgit selepas tewas mudah 12-21 dan 14-21.

Akhirnya, Jerman memastikan slot ke suku akhir menjadi milik mereka apabila beregu wanitanya, Michels Bigit dan Golsizewksi Johanna menghadiahkan mata kemenangan selepas menewaskan Woo Khe Wei dan Hoo Vivian Kah Mun dengan 16-21 21-16 dan 18-21 untuk keputusan 3-2.

Sementara itu, tujuh pasukan dalam divisyen satu terlebih dahulu mengesahkan tiket ke suku akhir selepas perlawanan semalam iaitu China dan Indonesia dari Kumpulan A, Thailand dan Korea (Kumpulan B) selain Denmark dan Jepun Kumpulan D.

Juara lapan kali, China yang menewaskan India 5-0 Ahad lalu, mengekalkan rekod tanpa kalah untuk mengungguli Kumpulan A apabila mengalahkan Indonesia 5-0 pada perlawanan kedua kumpulan.

Kekalahan itu menyebabkan Indonesia terpaksa berpuas hati selaku naib juara kumpulan.

Satu lagi wakil dalam kumpulan itu, India terlebih dahulu tersingkir daripada kejohanan ini semalam selepas tewas kedua-dua perlawanan.

Dalam Kumpulan D, Jepun juga mengesahkan tempat ke suku akhir dengan bergaya apabila menamatkan cabaran Denmark dengan keputusan 3-2.

Keputusan itu membolehkan Jepun muncul juara, manakala Denmark naib juara Kumpulan D.

Dalam saingan Kumpulan B, Thailand muncul juara kumpulan selepas mengalahkan Korea Selatan 5-0 pada aksi kedua hari ini.

Jepun pula menewaskan Denmark 3-2 untuk muncul juara kumpulan D, manakala pasukan Eropah itu hanya berpuas hati naib juara.


EmoticonEmoticon