20 Mei, 2013

Piala Sudirman: Rashid 'naik angin' prestasi pemain

Rashid Sidek
JURULATIH perseorangan negara, Rashid Sidek sukar untuk menerima kekalahan skuad Piala Sudirman negara selepas tewas mengejut 2-3 kepada Taiwan pada saingan pembukaan kumpulan C Kejohanan Badminton Piala Sudirman di Stadium Putra, Bukit Jalil hari ini.

Gagal menyembunyikan perasaan kecewanya dengan persembahan buruk keseluruhan skuad Piala Sudirman negara itu, Rashid berkata, beliau sendiri tidak menjangka pasukan Malaysia akan mencatat kekalahan seteruk itu.

Menurut Rashid, meskipun barisan skuad Piala Sudirman sudah bersedia sepenuhnya tetapi pihak lawan nyata bermain dengan lebih baik.

"Kami sudah menampilkan barisan terbaik dalam kejohanan ini, namun perancangan kami untuk mengumpul mata tidak berjalan dengan lancar seperti yang dibincangkan sebelum perlawanan bermula.

"Sejujurnya saya kecewa dan tidak dapat menerima keputusan teruk ini. Kita juga yang mengharapkan Koo Kien Keat/Tan Boon Heong menghadiahkan mata pertama tetapi permainannya agak tersekat.

"Dia perlu menang permainan tadi tetapi apa yang kita rancang tidak menjadi. Kekalahan itu jelas melemahkan semangat pemain lain untuk beraksi," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berakhir.

Sementara itu, jurulatih beregu negara, Tam Kim Her turut senada dengan pandangan Rashid apabila beliau menyifatkan pemain negara tidak menunjukkan standard dan mutu permainan sebenar.

Kecewa dengan aksi hambar beregu negara, Koo dan Tan, Kim Her turut menyalahkan beregu itu yang hilang fokus kerana terganggu dengan kebangkitan mendadak pihak lawan pada set kedua.

"Pada mulanya rentak permainan mereka pada set pertama bagus dan nampak keserasian antara mereka.

"Namun memasuki babak kedua, pemain nyata hilang fokus dan banyak melakukan kesilapan yang mudah sehingga memmberikan kelebihan kepada pihak lawan untuk mencatat kemenangan.

"Mungkin pemain mengalami sedikit tekanan kerana perlawanan pertama, sehubungan itu kami akan berbincang sebelum turun beraksi perlawanan kedua," kata Kim Her.

Tambah Kim Her, meskipun tumbang dalam perlawanan pertama, beliau sebagai jurulatih tetap percaya pasukan negara mampu mara lebih jauh kejohanan tersebut.

"Kecewa memang kecewa, apa yang penting sekarang kita harus berbincang dengan kesemua pemain dan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi setiap kelemahan.

"Kita juga harus percaya yang skuad negara boleh mengatasi Jerman selasa ini dan mara ke suku akhir," jelasnya yang akan mengadakan perbincangan dengan jurulatih lain sama ada untuk mengekalkan Koo dan Tan selaku taruhan terbaik negara ketika aksi kedua Kumpulan C menentang juara Eropah, Jerman Selasa ini.


EmoticonEmoticon