21 Jun, 2013

Belum urut dah kena cabul!

Gambar hiasan
Kuala Lumpur: Seorang remaja lelaki dicabul sebelum disamun seorang lelaki yang hanya beberapa jam dikenali di Wangsa Delima, di sini, kelmarin.

Mangsa yang berusia 18 tahun kerugian kira-kira RM5,000 selepas wang tunai RM3,000, komputer riba dan telefon bimbit disamun lelaki berusia 30 tahun itu.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa yang menjalankan khidmat urut sambilan diminta datang ke sebuah hotel oleh lelaki itu untuk mengurutnya.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Hanafi, 18, berkata, lelaki itu mendakwa mengambil nombor telefonnya di sebuah kedai dan memintanya datang ke hotel untuk mengurut.

“Saya yang menjalankan khidmat urut sambilan menganggap lelaki itu sebagai pelanggan dan menurut arahannya untuk ke hotel. Saya mengurut di bahagian badan sebelum dipaksa membuat urutan di kemaluan.

“Saya menolak permintaan lelaki itu, namun dipaksa sebelum dipukul. Takut diperlakukan dengan lebih kejam, saya mengikut arahannya sebelum dicabul,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, selesai mengurut, lelaki itu mempelawa untuk menghantarnya pulang ke Sri Kembangan dengan kereta.

Katanya, ketika dalam perjalanan, dia diugut lelaki itu yang akan menyebarkan video rakaman aksi mereka dan meminta wang tunai RM3,000 sekiranya tidak mahu video berkenaan tersebar.

“Saya yang takut dengan ugutan itu kerana akan memburukkan nama sebagai pelajar terus menyerahkan wang tunai yang diminta,” katanya yang sebelum itu mengeluarkan wang simpanannya di bank mesin juruwang automatik (ATM) di Wangsa Maju.

Menurutnya, lelaki itu turut merampas telefon bimbit dan komputer riba miliknya sebelum meninggalkannya di tepi jalan.

Katanya, dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.


EmoticonEmoticon