12 Jun, 2013

Blackout 505 Kota Bharu, Pas Kelantan tak terima 'kad jemputan'

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan bahawa beliau tidak akan hadir pada perhimpunan 'Blackout 505' malam ini kerana terikat dengan komitmen lain.

Selain itu, beliau juga mengesahkan dirinya tidak diberi jemputan rasmi untuk menghadiri perhimpunan yang bakal diadakan di Padang Majlis Daerah Ketereh di sini malam ini biarpun ia dihadiri oleh pemimpin utama pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya tidak menerima jemputan rasmi, saya dimaklumkan orang lain pun tidak ada jemputan rasmi.

"Saya sendiri pun tidak dapat hadir kerana ada komitmen pada malam ini, Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) hadir atau tidak saya tidak tahu, kena tanya beliau?," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Sebelum ini, ramai pemimpin PAS khususnya dari Dewan Ulama memilih untuk menjauhkan diri mereka dengan perhimpunan itu bagi membantah keputusan pilihan raya umum 5 Mei lalu yang didakwa tidak telus dan berlaku penipuan.

Keadaan tersebut menguatkan lagi spekulasi bahawa PAS Kelantan juga menolak perhimpunan untuk menyatakan rasa tidak puas hati rakyat.

Walaupun tidak berpuas hati dengan keputusan PRU-13, pembangkang tidak pula menyatakan berlakunya penipuan di negeri-negeri yang dimenanginya seperti di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.


EmoticonEmoticon