19 Jun, 2013

'Fatwa Husam songsang - Bekas Naib Presiden Pas

SHAH ALAM: Kenyataan Naib Presiden PAS Husam Musa bahawa mana-mana peserta yang terkorban ketika menyertai Himpunan Black 505 sebagai mati syahid telah mengundang reaksi negatif bekas ahli parti itu.

Datuk Nakhaie Ahmad yang sebelum ini merupakan Naib Presiden PAS menyelar kenyataan Husam sambil menyifatkan tindakan itu sebagai songsang.

Tambah beliau, 'fatwa' yang dikeluarkan itu adalah tidak sah untuk diaplikasikan ekoran Husam seorang yang tidak berkredibiliti untuk mengeluarkan fatwa.

"Fatwa itu adalah fatwa songsang dikeluarkan oleh orang yang berpemikiran songsang dan apa yang dinyatakan itu adalah tidak sah," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Sehubungan itu, tindakan Husam mengeluarkan 'fatwa' dilihat sebagai tidak rasional kerana sudah jelas pemimpin-pemimpin parti itu tidak menggalakkan orang ramai untuk menyertai perhimpunan yang bakal berlangsung 22 Jun ini.

Tambah Nakhaei lagi, fatwa tersebut tidak boleh diguna pakai memandangkan kedudukan Husam di dalam PAS boleh dilabelkan sebagai derhaka kepada pemimpin atasan PAS.

"Pertama sekali, Husam derhaka kepada pemimpin dia, pemimpin tidak menggalakkan penyertaan itu ataupun tidaklah mewajibkan.

"Orang yang derhaka mana boleh dianggap ataupun diangkat sebagai syahid," katanya lagi.

Kenyataan Husam ini berlawanan dengan seterunya Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din yang mahu ahli PAS mematuhi pendirian serta nasihat Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa tiada paksaan untuk mereka menyertai perhimpunan 'Blackout 505' pada Sabtu ini.

Katanya, perhimpunan anjuran beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantah perjalanan pilihan raya umum lalu dianggap bukan acara rasmi parti.

Semalam, Husam mengeluarkan kenyataan yang dikeluarkan Harakahdaily menyatakan bahawa sesiapa sahaja yang menyertai Himpunan Black 505 dan terkorban akan dianggap syahid.

Namun, kenyataan beliau tidak mendapat sokongan daripada mana-mana pihak termasuk organisasi parti itu sendiri apabila Ketua Majlis Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib enggan memberikan sebarang komen berhubung kenyataan Husam ketika dihubungi pihak Antarapos.


EmoticonEmoticon