12 Jun, 2013

Janda, duda dalam keadaan mengaibkan di tepi pantai

Gambar hiasan
KAMPUNG RAJA - Seorang ibu tunggal dan pasangannya dijatuhkan hukuman denda RM2,900 seorang oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam selepas mengaku bersalah melakukan persetubuhan haram di tepi pantai dekat Pantai Bukit Keluang Oktober tahun lalu.

Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof yang berpuas hati terhadap pengakuan salah tertuduh turut memerintahkan mereka dipenjara sebulan jika gagal membayar denda dikenakan.

Mereka ditangkap ketika melakukan perbuatan tidak bermoral itu pada jam 1.25 pagi, 13 Oktober tahun lalu di tepi pantai.

Tertuduh wanita ketika ditangkap masih berstatus isteri orang kini berusia 44 tahun beralamat di Seberang Jertih, manakala pasangannya, seorang duda berusia 28 tahun bekerja sebagai peniaga pasar malam dan beralamat di Kampung Kemudu Bongkok, Pasir Puteh, Kelantan.

Kedua-dua mereka dituduh di bawah Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2001 kerana persediaan melakukan persetubuhan haram yang sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie, Wan Abdul Hakim Wan Khairul Anuar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Menurut fakta kes, bertindak atas maklumat pada masa berkenaan, anggota penguat kuasa bersama dua orang awam membuat rondaan di kawasan Pantai Bukit Keluang.

Ibu tunggal ini dijatuhkan hukuman denda oleh
Mahkamah Rendah Syariah semalam.
Ketika sampai, didapati keadaan gelap dan sunyi serta ketika berjalan di tepi pantai melihat seorang lelaki (tertuduh lelaki) dalam keadaan berbogel tanpa pakaian berbaring di atas pasir.

“Pengadu (pegawai penguat kuasa) menghampiri pasangan itu dan memperkenalkan diri kemudian mengarahkan mereka memakai baju dan pemeriksaan mendapati mereka bukan suami isteri,” kata Wan Abdul Hakim.

Tertuduh wanita dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman kerana menanggung enam anak termasuk seorang orang kurang upaya, tiga masih bersekolah, seorang masih kecil dan seorang lagi lepasan sekolah.

Dia juga memberitahu ketika ditangkap dia dalam proses perceraian dengan suaminya dan kini tujuh bulan sudah bercerai.

Tertuduh wanita membayar denda yang dikenakan, manakala pasangannya terpaksa dihantar ke Penjara Pangkalan Chepa, Kelantan kerana gagal membayar denda yang dikenakan.

1 comments so far

Assalamualaikum semua,

Iklankan produk dan perniagaan anda atau barangan terpakai yang ingin anda jual di laman web www.produkmuslim.info

Ekonomi teguh ummah kuat sokongan anda amat dihargai

Terima kasih


EmoticonEmoticon