09 Jun, 2013

'Kalau Rajagobal tak rasa malu, saya tak tahulah apa perasaannya'

Zolkples akui malu skuad kebangsaan kalah kepada pemain sambilan

Kuala Lumpur: “Kalau Datuk (K) Rajagobal tak malu, saya tak tahulah, tapi sebagai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) dan rakyat Malaysia, saya memang malu dengan kekalahan itu,” kata Datuk Seri Zolkples Embong semalam.

Ketua Pengarah MSN itu berkata demikian susulan kekalahan memalukan skuad kendalian Rajagobal kepada Canberra FC 2-3 Khamis lalu, apatah lagi, kelab divisyen dua itu dilaporkan oleh akhbar tempatan di sana - The Canberra Times - menggunakan khidmat pemain sambilan.

Malu baca berita

“Saya sebenarnya tidak kisah ke mana pun skuad negara hendak pergi untuk mengadakan sesi latihan atau perlawanan persahabatan kerana apa yang paling penting pendedahan serta pengalaman yang ditimba pemain.

“Namun, dalam hal ini, saya malu kerana baca berita skuad negara tewas kepada kelab yang dibarisi pemain sambilan seperti yang disiarkan oleh media di Australia. Saya tak tahu mana hendak letak muka kalau saya Rajagobal,” tambah Zolkples.

Pemergian skuad negara ke Australia sebagai persiapan untuk menghadapi baki kempen kelayakan Piala Asia 2015 sebelum ini mendapat banyak kritikan selepas Rajagobal dengan persetujuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkan perlawanan persahabatan dengan Singapura.
Ini kerana pengkritik berpendapat keputusan memilih Canberra dan Sydney sebagai tempat latihan ketika ini adalah satu kesilapan kerana cuacanya kian sejuk, sedangkan Harimau Malaya akan menentang negara yang cuacanya panas.

Kritikan tepat

Nyata, kritikan itu ada benarnya dengan kekalahan dialami anak buah Rajagobal itu yang gagal mempamerkan prestasi terbaik mereka dalam keadaan cuaca sejuk apabila diaibkan oleh Canberra FC yang dibarisi pemain berstatus sambilan.

Berikutan kekalahan itu, Akhbar The Canberra Times memilih menggunakan tajuk ‘pemain sambilan catat kemenangan ke atas skuad kebangsaan’ sekali gus ia seperti memperlekehkan dan mempersendakan kemampuan skuad negara.

“Memang memalukan tetapi kita sudah kalah dan kita perlu terima. Saya percaya Rajagobal ada alasannya yang tersendiri. Malah, saya dengar Rajagobal puas hati dengan prestasi pemain ketika perlawanan itu,” kata Zolkples.


EmoticonEmoticon