01 Jun, 2013

Khir Toyo dakwa jadi 'ikon' usaha kerajaan banteras rasuah

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo percaya bahawa beliau akan dipenjarakan sebagai ikon untuk menunjukkan kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telus dan mahu membanteras rasuah.

Dalam blognya yang bertajuk 'Putus Sudah Harapan?' hari ini, Khir yang gagal dalam permohonannya, semalam supaya Mahkamah Rayuan mengketepikan hukuman penjara 12 bulannya berkata beliau akan merayu di Mahkamah Persekutuan. Namun katanya, beliau tidak mengharapkan peluang untuk dibebaskan secerah semasa kes ini di Mahkamah Rayuan.

"Saya sudah tidak peduli lagi jika keputusan telah dibuat untuk memenjarakan saya sebagai ikon untuk menunjukkan kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ini telus dan mahu membanteras rasuah. Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya," katanya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Disember 2011 mendapati Khir Toyo bersalah terhadap tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri suatu barangan berharga dengan balasan diketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di Seksyen 7 di sini.

"Semalam, peguam saya, Datuk Seri Shafee Abdullah bangun mengemukakan pertanyaan kepada tiga orang panel hakim hari ini, 'Apakah benchmark atau tanda aras untuk menyatakan pembelian ini merupakan satu pembalasan yang tidak mencukupi?'

"Pertanyaaan ini bukan sahaja tidak dijawab oleh Hakim Mahkamah Tinggi tetapi juga oleh tiga panel hakim Mahkamah Rayuan. Ini bermakna saya tidak mungkin mendapat sebarang perbicaraan yang munasabah pada akal logik," katanya.

Mengharapkan penghakiman yang jelas

Menurut Khir, beliau percaya bahawa beliau akan tetap didapati bersalah walau apa pun bukti yang dikremukakannya tetapi berharap panel lima hakim Mahkamah Persekutuan akan datang menyatakan dengan jelas apakah tanda aras sebenar balasan tidak mencukupi itu.

"Saya berharap para hakim akan memberi penghakiman yang jelas agar tidak ada lagi penjawat awam menjadi seperti saya - mangsa yang boleh dimanipulasi untuk kepentingan politik!," katanya.

Beliau juga mengulangi bahawa beliau tidak melakukan rasuah.

"Sebab tu saya dituduh melakukan Criminal Breach Trust (CBT) atau pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan bukannya kesalahan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Namun SPRM dengan bangganya menyatakan bahawa kejayaan pendakwaan ke atas saya merupakan bukti kerajaan serius membanteras rasuah," katanya.

Menurut Khir lagi, hakikat utama dalam kes ini bahawa beliau membeli rumah dengan balasan tidak mencukupi masih merupakan satu kenyataan yang sangat kabur.

"Saya bangga sekurang-kurangnya saya membeli rumah dengan titik peluh saya bukan menggunakan wang kerajaan," akhiri tulisannya itu.


EmoticonEmoticon