01 Jun, 2013

Pasangan memadu asmara maki hamun apabila ditegur

Gambar hiasan
PONTIAN – Kewujudan Taman Rekreasi tepi Pantai Rambah, dekat sini, sejak lebih lima tahun lalu didakwa menjadi lokasi kepada segelintir golongan remaja untuk bermadu kasih sekaligus mencemarkan imej taman rekreasi tersebut.

Penjaga muzium di kawasan taman reaksi itu, Abdullah Ahmad, 61, mengakui sering ternampak pasangan kekasih muda terutama daripada golongan remaja melakukan perkara tidak sopan di tempat tersembunyi di taman berkenaan.

Menurutnya, kawasan taman itu agak luas dengan kemudahan rekreasi seperti taman permainan dan pondok tempat berehat, surau serta tandas.

“Banyak kawasan yang tersembunyi sebagai contoh di belakang surau dan tandas sering dijadikan lokasi untuk pasangan muda berdua-duaan.

“Paling mengejutkan, saya pernah terlihat pasangan muda bermadu kasih di bawah jambatan dan ada juga yang menjadikan tepi tebing pantai sebagai 'port' mereka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Abdullah yang sudah bekerja sejak muzium dibuka pada 2009, memberitahu waktu pagi antara jam 7 hingga 10 pagi kerap menjadi pilihan pasangan muda memadu kasih di situ.

“Keadaan taman begitu sunyi tanpa orang ramai yang berkunjung di sini pada waktu itu,” katanya.

Jelasnya, pada waktu malam pula pihak berkuasa terutama dari unit rondaan polis kerap melakukan pengawasan di situ.

Dia yang kesal dengan tindakan sesetengah golongan yang menyalahgunakan taman rekreasi tersebut memberitahu pernah dimarahi dan diugut.

“Biasanya saya akan jerit dan pasangan tersebut mula sedar ada orang yang memerhatikan mereka dan terus beredar.

“Tetapi, ada marah dengan tindakan saya itu dan memaki hamun saya dari jauh,” katanya.

Bagi menyedarkan anak muda dari terus hanyut, Abdullah mengambil langkah meletakkan pengusung jenazah di hadapan surau yang terletak di tengah-tengah taman rekreasi tersebut.

“Pengusung jenazah ini digunakan oleh kariah Masjid Telok Kerang untuk urusan pengebumian jenazah suatu masa dahulu.

“Saya berharap dengan adanya pengusung jenazah ini, golongan remaja terutama yang beragama Islam akan memberi keinsafan kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu dia turut berharap agar penguatkuasa pejabat agama Islam memantau kawasan rekreasi tersebut.


EmoticonEmoticon