19 Jun, 2013

Pekerja kilang bersekedudukan

Penguatkuasa JAJ mengambil keterangan daripada dua wanita Indonesia
yang didapati tinggal bersama seorang lelaki yang bukan muhrim.
BATU PAHAT – Tiga wanita dan seorang lelaki warga Indonesia ditahan dalam serbuan Ops Maksiat di sebuah rumah di Taman Nira, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Timbalan Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, ketika serbuan dilakukan, anggota penguat kuasa terpaksa menunggu kira-kira 30 minit sebelum penghuni membuka pintu.

Sebaik pintu dibuka, pihaknya mendapati seorang lelaki berada di ruang tamu sedang tidur, manakala tiga wanita berkenaan berada di dalam bilik.

“Kesemua warga Indonesia berusia 30an terbabit bekerja di kilang berdekatan, manakala lelaki tersebut memberi alasan tumpang tidur di rumah sewa itu. Dipercayai mereka telah tinggal bersama sejak setahun lalu.

“Kesemua mereka didapati bersalah kerana tidak mempunyai talian persaudaraan dan berada dalam keadaan yang mencurigakan iaitu berkurung,” katanya.

Katanya, kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk proses dokumentasi sebelum dituntut waris masing-masing.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 27 (1), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.

“Jika sabit kesalahan, kedua-duanya berdepan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.


EmoticonEmoticon