19 Jun, 2013

Runtuhan: P. Pinang tubuh suruhanjaya siasatan

GEORGETOWN - Kerajaan negeri bercadang menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Pulau Pinang bagi menyiasat kegagalan struktur sivil yang berlaku dalam dua kejadian runtuhan di negeri ini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, ia dicadangkan dalam mesyuarat exco semalam untuk menyiasat secara menyeluruh terhadap dua kejadian yang meragut nyawa orang awam itu.

Insiden runtuhan Jambatan Pulau Pinang mengorbankan satu nyawa manakala insiden di Menara Umno meragut nyawa dua orang awam.

Guan Eng berkata, penubuhan itu dibuat di bawah Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 yang menetapkan tiga terma rujukan iaitu menyiasat punca kejadian itu berlaku, menyemak dan memastikan sama ada semua kelulusan dan kebenaran diperolehi dari jabatan berkenaan secara sah termasuk pengecualian yang diberikan, sekiranya ada.

“Selain itu, terma rujukan yang ketiga ialah menghukum pihak yang terlibat khususnya mana-mana jabatan atau pemilik bangunan jika terbukti ada kecuaian serta mencadangkan langkah perlu diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang sehingga berlaku kehilangan nyawa,” katanya kepada media, hari ini.

Menjawab soalan media sama ada siasatan oleh suruhanjaya itu bakal mengganggu siasatan dilakukan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh), Guan Eng berkata, perkara itu tidak timbul berikutan siasatan yang dilakukan pihaknya bersifat kebajikan awam di negeri ini.

“Siasatan kita tidak akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan (Dosh), mereka masih dengan siasatan mereka. Kita pun akan jalankan siasatan malah kita lebih bersifat terbuka kerana mementingkan persepsi masyarakat. Bukan senang nak kembalikan keyakinan rakyat setelah apa yang berlaku.

“Sebab itu, keputusan siasatan akan diumumkan kepada awam supaya mereka tahu apa sebenarnya berlaku sementara Dosh menjalankan siasatan dalaman dan hasil siasatannya tidak diumumkan kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, suruhanjaya itu dijalankan secara profesional dan bebas bagi mencari kebenaran untuk keadilan kepada keluarga mangsa.

Terdahulu, Guan Eng meminta sebuah klip video yang diambil dari rakaman sistem kamera litar tertutup (cctv)di Jalan Macalister ditayangkan untuk tontonan keluarga mangsa dan media.

Keluarga mangsa dilihat tidak dapat menahan kesedihan apabila klip video berdurasi 14 saat itu diulang tayang beberapa kali dan turut meminta salinannya untuk simpanan.

Terdahulu, seorang maut manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian angin kencang yang melanda 21 kawasan di negeri ini.

Warga India, Jahir Sulaiman, 46, maut apabila lori yang dibawa rakan sekerjanya dihempap penebat kilat dan mengakibatkan kepalanya cedera parah manakala pemandu lori itu cedera ringan. Jahir meninggal dunia sebaik dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, orang ramai Sabtu lalu gempar apabila pekerja pembersihan menjumpai serpihan kereta yang dipercayai jenis Honda City berwarna gelap yang terbenam di bawah konkrit yang terhempas ke jalan raya yang membentuk kawah kesan terjatuhnya penebat kilat dari Menara Umno.

Polis mengesahkan nombor casis pada serpihan kereta yang dijumpai sama dengan laporan yang dibuat isteri mangsa.

Isterinya mendakwa suaminya, seorang penjual nasi, Lim Chin Aik, 44, hilang sejak kejadian itu berlaku ketika keluar rumah untuk mengambil anaknya pulang dari sekolah.


EmoticonEmoticon