13 Jun, 2013

Wan Zack mahu tinggalkan FC Ryuku, Kim Swee serik!

KUALA LUMPUR - Jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee mengakui serik untuk mempromosikan pemain muda kebangsaan kepada kelab luar jika benar laporan bahawa bekas anak didiknya, Wan Zack Haikal akan meninggalkan kelab Jepun, FC Ryukyu musim depan.

Kim Swee yang dihubungi semalam mengesahkan bahawa kelab divisyen 3 Jepun, FC Ryukyu ada menerima tawaran dari sebuah pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M) yang berminat untuk mendapatkan khidmat Wan Zack.

"Ya... Memang ada pasukan dalam liga kita yang sanggup menebus kontrak untuk mendapatkan Wan Zack. Ini disahkan oleh FC Ryukyu sendiri.

"Jika Wan Zack pulang demi menerima tawaran tersebut, sudah tentu saya amat kecewa kerana saya yang memperkenalkan beliau kepada kelab luar, tetapi tiba-tiba sahaja dia mahu pulang awal.

"Jika ini berlaku (Wan Zack kembali ke Malaysia) saya tidak mahu lagi mempromosikan pemain kita kepada kelab-kelab luar.

"Saya serik kerana sebelum ini Muhammad Nazmi Faiz juga pulang awal dari kelab Portugal," katanya ketika dihubungi semalam.

Akhbar kelmarin menyiarkan laporan bahawa pemain sayap lincah, Wan Zack dikatakan mahu meninggalkan FC Ryukyu musim depan.

Wan Zack menyertai FC Ryukyu sejak Mac lalu dengan kontrak dua tahun dan setakat ini dia hanya diturunkan dalam satu perlawanan sahaja.

Mengiringi Wan Zack ke FC Ryukyu adalah Nazirul Naim Che Hashim dengan kontrak setahun.

Sebelum ini, bintang muda bola sepak negara, Muhammad Nazmi membuat keputusan mengejut dengan meninggalkan kelab divisyen satu Portugal, SC Beira Mar walaupun menandatangani kontrak tiga tahun dan menyertai PKNS.

Menurut Kim Swee, walaupun mendapat tawaran dari pasukan tempatan, dia dimaklumkan bahawa FC Ryukyu enggan melepaskan Wan Zack, yang kini dibelenggu kecederaan buku lali.

"Saya tiada hak campur tangan dalam kes Wan Zack kerana dia kini milik FC Ryukyu," katanya.


EmoticonEmoticon