06 Julai, 2013

Doa untuk Guan Eng dalam khutbah, khatib tarik balik saman

Shabudin Yahaya (kiri) bersalaman dengan Zakaria Ahmad selepas bersetuju menyelesaikan kes mereka di luar mahkamah di Mahkamah Jenayah Tinggi 1 di Pulau Pinang, semalam. - Utusan/Sazali Che Din
PULAU PINANG 5 Julai - Seorang khatib hari ini menarik balik tuntutan saman fitnahnya terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya, dan syarikat penerbitan akhbar, Utusan Melayu (M) Bhd. dan New Straits Times Press (M) Bhd. (NSTP).

Zakaria Ahmad selaku plaintif memaklumkan demikian di Mahkamah Tinggi di sini dan bersetuju untuk menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah.

Berikutan perkembangan tersebut, Hakim Datuk Zamani A. Rahim membatalkan kes saman fitnah berkenaan.

Hakim Zamani berkata, tindakan plaintif dan kesemua defendan yang bersetuju untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah jelas menunjukkan satu semangat yang sangat baik.

"Memandangkan Ramadan hampir tiba, adalah baik untuk kita saling bermaaf-maafan dan sebagai manusia kita sememangnya tidak lekang daripada melakukan kesilapan.

"Jadi sifat memaafkan perlu ada agar kita semua dapat menikmati kehidupan dengan lebih aman dan damai,'' kata beliau.

Hakim Zamani juga berkata, penarikan semula tuntutan tersebut sekali gus menjimatkan masa semua pihak terutama mahkamah, plaintif dan defendan.

Pada November 2010, Zakaria yang merupakan seorang ahli Pas, memfailkan saman terhadap Utusan Melayu beserta Shabudin; wartawan Utusan Malaysia, Azeli Ali, dan Pengarang Mingguan Malaysia, Mohd. Zin Mahmud.

Saman itu dikemukakan berhubung artikel Doa dibacakan dalam bahasa Melayu - Shabudin yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 22 Ogos 2010 yang didakwa telah merosakkan reputasinya.

Tuntutan sama juga dilakukan oleh adik kepada Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Datuk Seri Hassan Ahmad itu terhadap NSTP beserta dua yang lain iaitu Ketua Pengarang Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan wartawannya, Amin Ridzuan Ishak berhubung artikel Khatib terus doakan Guan Eng yang disiarkan Berita Harian pada tarikh sama.

Zakaria semasa menjadi khatib jemputan di Masjid Jamek Padang Menora, Bukit Mertajam dekat sini pada 25 Jun 2010 didakwa menyebut nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng semasa membacakan doa khutbah solat Jumaat di masjid berkenaan tanpa menyebut nama Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri.

Dalam kes berkenaan, Zakaria diwakili peguam Azhar Ahmad manakala Utusan Malaysia diwakili peguam TKB Mohana Kumar dan Shabudin diwakili peguam, Azmer Mohd. Saad.

NSTP pula diwakili oleh peguam Rueben Mathiavaranam.


EmoticonEmoticon