03 Julai, 2013

Hoki: Malaysia tempah ranjau bertemu Jerman

Faizal Saari (kiri) bersaing dengan pemain England, Richard Smith dalam saingan pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru, malam tadi. Malaysia tewas 1-2.
JOHOR BAHRU - Malaysia memilih laluan sukar pada saingan suku akhir pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia selepas tewas 1-2 kepada England di Stadium Taman Daya di sini, semalam.

Kekalahan itu menyebabkan Malaysia hanya mampu menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga ketiga dan akan menentang naib juara Kumpulan A, Jerman yang juga menduduki ranking No. 1 dunia dalam aksi suku akhir esok.

Malah, peluang Malaysia untuk melepasi saingan suku akhir juga bukan mudah kerana misi Jerman pada kejohanan tersebut adalah untuk memburu gelaran.

Ketua jurulatih kebangsaan, Paul Revington berkata, dia amat kecewa dengan prestasi yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya pada perlawanan menentang England.

"Terlalu banyak bermain dalam corak permainan serangan dan bertahan ketika menentang Afrika Selatan pada Ahad lepas sedikit menjejaskan kualiti permainan kami hari ini (semalam). Ini juga bukan standard permainan yang kami mahukan.

"Menentang Jerman pada suku akhir nanti kami perlu buang perasaan takut meskipun kami amat menghormati pasukan lawan," kata Revington kepada pemberita pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan di sini, semalam.

Pada perlawanan tersebut, England terlebih dahulu meraih jaringan pada minit ke-20 menerusi pukulan sudut penalti pemain Richard Smith.

Malaysia hanya mampu menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi pukulan sudut penalti penyerang Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil.

Bermula babak kedua menyaksikan lebih banyak serangan dalam kawasan D dilakukan oleh kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun, jaringan hanya mampu diterjemahkan pada minit ke-57 yang menyaksikan England kembali mendahului jaringan menerusi gol padang Barry Middleton.

Malaysia terus berusaha memburu gol penyamaan menerusi serangan dari setiap sudut, namun gagal memperoleh jaringan sebelum terpaksa akur dengan kekalahan ke atas pasukan ranking keempat dunia England.

Sementara itu, keputusan lain dalam saingan Kumpulan B menyaksikan Pakistan meraih kemenangan 6-2 ke atas Afrika Selatan.

Kemenangan Pakistan itu membolehkan mereka menamatkan saingan peringkat Kumpulan B sebagai pendahulu.

Pada perlawanan suku akhir esok Pakistan dijadual menentang pasukan di kedudukan keempat Kumpulan A, Korea Selatan manakala Afrika Selatan akan bertemu juara Kumpulan A, Argentina.


EmoticonEmoticon