09 Julai, 2013

Piya dipancing RM100,000 sebulan?

KOTA BHARU - Meskipun saingan Piala Malaysia musim ini belum bermula, namun sudah timbul khabar angin mengatakan ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Radzi atau Piya menerima tawaran lumayan untuk beraksi dengan Johor Darul Takzim.

Khabar angin yang tersebar luas di laman sosial facebook mengatakan ‘jeneral’ Kelantan itu bakal menerima gaji bulanan berjumlah RM100,000, selain pasukan berkenaan bersedia membayar wang perpindahan bernilai RM3juta.

Bagaimanapun, Piya yang dihubungi Utusan Malaysia menafikan khabar angin tersebut dan meluahkan rasa kecewa dengan tindakan mereka yang terlibat dalam penyebaran spekulasi berkenaan.

Menurutnya, ekoran spekulasi berkenaan, ramai pihak telah menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan.

“Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak pernah menerima tawaran tersebut sebagaimana yang digembar-gemburkan di laman sosial facebook, termasuklah dari pasukan-pasukan lain.

“Jadi saya berharap mereka yang membuat spekulasi ini supaya menghentikan tindakan ini kerana dikhuatiri ia akan mengeruhkan keadaan.

“Apa yang penting, mahu fokus dan membantu Kelantan mempertahankan Piala Malaysia sekali lagi pada tahun ini," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tambahnya, lagipun dia masih mempunyai dan menghormati kontraknya bersama Kelantan.

Mohd. Badhri ternyata berada pada kelas tersendiri apabila menjadi ketua pasukan Kelantan pertama mendakap kesemua kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Pencapaian membanggakan anak kelahiran Kampung Atas Paloh itu ialah dengan menjulang Kelantan merangkul kejuaraan treble musim lalu serta mempertahankan Piala FA buat kali kedua berturut-turut tahun ini.

Malah Piya pernah dipilih sebagai Pemain Tengah Terbaik Asia tahun lalu oleh lawan web bola sepak antarabangsa goal.com.

Dalam perkembangan lain, Piya memberitahu berkemungkinan besar terpaksa melupakan hasrat untuk menjalani latihan persediaan ke kelayakan Piala Asia bulan ini akibat kecederaan pangkal paha.

Beliau berkata, kecederaan tersebut dialami ketika Kelantan beraksi di pentas final Piala FA, namun ia tidak begitu serius.

“Begitu juga ketika menentang Perak, saya hanya beraksi 30 minit sahaja. Ketika menentang Lions XII, kesakitan memang ada, namun saya ketepikan demi membantu pasukan menumpaskan lawan demi imej bola sepak negara.

“Alhamdulillah saya dan rakan-rakan berjaya melakukannya pada perlawanan tersebut. Saya akui sedikit terkilan kerana tidak bersama rakan-rakan sepasukan untuk membantu negara membuat persiapan.

“Namun apa boleh buat, kecederaan yang dialami ini membataskan saya untuk berbuat demikian," ujarnya.

Tambahnya, dia perlu berehat selama tiga minggu, bagi membolehkan kecederaan yang dialaminya pulih sepenuhnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130709/su_03/Piya-nafi-dipancing-JDT-RM100000-sebulan#ixzz2YVPdV4M5
© Utusan Melayu (M) Bhd


EmoticonEmoticon