01 Julai, 2013

PRK Kuala Besut: PKR setuju 'serah' kerusi kepada PAS

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memutuskan bahawa calon PAS akan mewakili Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut tidak lama lagi.

Menurut Anwar, yang juga adalah ketua umum PKR, keputusan dibuat selepas perbincangan bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Calon (daripada) PAS. Saya ingat Ketua PKR negeri (Azan Ismail) tadi dah jelaskan dan beliau (pun) dah bersetuju.

"Saya sendiri dah bercakap dengan Tok Guru, kita akan bagi sokongan penuh," katanya yang ditemui di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Kemelut perebutan kerusi DUN Kuala Besut berlaku apabila Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail mendakwa PKR mempunyai calon berpotensi untuk bertanding di kawasan itu yang sebelum ini ditandingi calon PAS, Napisah Ismail.

Pada pilihan raya umum 5 Mei lalu, Napisah tewas kepada Dr Abdul Rahman Mokhtar yang meninggal dunia minggu lalu akibat kanser paru-paru.

Hasrat PKR mahu meletakkan calon di DUN Kuala Besut mendapat tentangan keras daripada PAS kerana ia adalah kerusi tradisi parti itu.

Diminta pemberita mengulas pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengarah Pilihan Raya BN di DUN Kuala Besut, Anwar berkata tindakan itu membuktikan ketidak-yakinan kerajaan untuk terus memiliki kerusi berkenaan.

"(Menunjukkan) Tiada keyakinan di Terengganu. Tiada orang Terengganu yang layak ke? Dia takut kalah kot?" katanya.


EmoticonEmoticon