01 Julai, 2013

PRK Kuala Besut: PKR tawar calon wanitanya

SHAH ALAM: Walaupun ditempelak beberapa pemimpin PAS kerana mahu meletakkan calon pada pilihan raya kecil di DUN Kuala Besut, pemimpin PKR terus mendakwa parti itu mempunyai calon yang mampu memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat.

Terbaru, Pengarah Pilihan Raya Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha, berkata parti itu mahu meletakkan calon wanita parti itu yang dipercayai mampu memberi kelebihan kepada pembangkang.

"Sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat, Wanita Keadilan menyokong kerusi Kuala Besut kekal meletakkan calon wanita bagi memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat.

"Kami menawarkan diri, sekiranya kerusi Kuala Besut ini memerlukan calon Wanita untuk memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat," katanya yang ditemui selepas sidang DUN Selangor, di sini, hari ini.

Pilihan raya kecil itu dijangka berlangsung dalam masa terdekat ini berikutan kematian penyandangnya, Dr Abdul Rahman Mokhtar (BN) akibat kanser paru-paru, Selasa lalu.

Menurut Haniza, beliau yakin jika Pakatan memilih calon PKR, mereka mampu membuat kejutan pada pilihan raya kecil itu nanti.

"Kami bersedia untuk berdepan dengan BN bagi memastikan Pakatan Rakyat mengambil alih atau mengubah landskap politik yang berlaku di Terengganu selepas PRU-13 ini," katanya.

Pada PRU13, 5 Mei lalu, Allahyarham Abdul Rahman mempertahankan kerusi itu sejak 2008 setelah mengalahkan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Menurut Haniza yang juga ADUN Taman Medan, pemilihan calon PKR juga mampu memberi kelebihan kepada pembangkang secara keseluruhannya.

"Wanita Keadilan yang digambarkan kasih sayang, prihatin dan menitikkan hal kebajikan sosial akan memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat khususnya di Kuala Besut di mana penduduknya rata-rata penduduk kampung berpendapatan rendah yang memerlukan pembelaan wakil rakyat.

"Pakatan Rakyat mempunyai ramai pemimpin wanita berkeupayaan dan Wanita Keadilan bersedia menawarkan diri untuk bertanding sekiranya Pakatan melihat faktor itu untuk menang di kerusi berkenaan," katanya.

Ahad lalu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mendakwa PKR “tidak faham” apabila mengeluarkan kenyataan untuk mengetengahkan calon daripada parti itu pada pilihan raya kecil DUN Kuala Besut.

Menurut beliau, isu PKR mahu meletakkan calonnya bertanding di kerusi itu tidak sepatutnya timbul kerana lazimnya kerusi yang berlaku kekosongan perlu diserahkan kepada parti yang bertanding di kerusi itu pada PRU.

Polemik timbul apabila Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail minggu lalu dilaporkan berkata, PKR mempunyai calon berpotensi untuk bertanding di kawasan tersebut yang sebelum ini ditandingi PAS.

Antarapos


EmoticonEmoticon