09 Julai, 2013

Rogol: Guan Eng ugut tidak hantar atlet wanita SUKMA 2014

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa satu siasatan bebas ditubuhkan bagi menyiasat kes rogol melibatkan atlet bola baling Sukan Malaysia (Sukma) 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mendakwa, langkah itu bagi memastikan atlet perempuan sentiasa berada dalam posisi selamat dan memastikan kejadian memalukan itu tidak berulang.

Guan Eng turut meminta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin memberi jaminan berhubung tahap keselamatan atlet wanita dan tindakan tegas yang akan dikenakan terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebabkan tahap keselamatan yang longgar di UPM.

“Jika Khairy gagal memberikan jaminan itu, maka kerajaan Pulau Pinang akan menimbang semula penyertaan atlet wanita dalam Sukma pada masa depan,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Guan Eng seterusnya mendakwa terdapat aduan keselamatan longgar di asrama perempuan di sebalik jaminan Kementerian Belia dan Sukan serta penganjur bahawa keselamatan berada pada tahap yang memuaskan.

Dakwanya, isu itu jelas menunjukkan tahap keselamatan yang longgar sehingga jenayah seksual yang memalukan tersebut boleh berlaku.

Beliau mendakwa jenayah rogol itu bukan sahaja mencalarkan imej Sukma tetapi juga reputasi sukan antarabangsa di Malaysia.


EmoticonEmoticon