17 Julai, 2013

Swastakan Liga M perlu diperhalusi

KUANTAN - Cadangan menswastakan Liga Malaysia (Liga M) perlu diperhalusi dan dikaji dengan teliti supaya dapat memberi impak terbaik kepada sukan No. 1 negara itu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, keputusan untuk menswastakan Liga M harus dibuat menerusi kajian yang teliti dan bukannya secara melulu dan tergesa-gesa.

"Kita harap semua pihak harus bagi pandangan untuk mendapatkan satu pengurusan yang profesional dalam pentadbiran dan pengurusan liga.

"Seelok-eloknya bawa dalam forum yang boleh diadakan perbincangan bersama dan bukan sahaja FAM bagi membolehkan satu rumusan dibuat ke atas cadangan tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis Berbuka Puasa dekat Masjid Sultan Ahmad Shah Felda Bukit Goh di sini, kelmarin.

Sebelum ini beberapa pihak termasuk Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong mencadangkan supaya Liga M diswastakan bagi membolehkan pengurusan lebih mantap.

Menurut Tengku Abdullah, memandangkan bola sepak negara kian mendapat tempat di hati peminat, cadangan sedemikian perlu dikaji supaya tidak menjejaskan mutu sukan itu jika diswastakan sepenuhnya.

"Bukan sahaja kita melepaskan tanggungjawab ini kepada satu pihak tetapi perlu diperhalusi baik dan buruknya.

"Apa yang kita bimbang jika melibatkan swasta akan terdapat implikasi daripada aspek perundangan dan akan menyukarkan pihak FAM.

"Oleh sebab itu, mesti ada satu kertas kerja yang baik dan semestinya lebih daripada apa yang kita ada sekarang terutama dari segi pengurusan pentadbiran, pengurusan pengadil dan stadium," jelas beliau.

Utusan


EmoticonEmoticon