03 Julai, 2013

Wayne Rooney ke Chelsea?

LONDON - David Moyes yang baru secara rasmi menjadi pengurus Manchester United kini berdepan keputusan pertama yang perlu dilakukannya sama ada menjual Wayne Rooney kepada Chelsea dengan yuran perpindahan 20 juta pound (RM96 juta).

Walaupun beberapa kelab turut berminat mendapatkan penyerang kebangsaan England berkenaan, difahamkan Rooney telah menarik perhatian Jose Mourinho, pengurus yang telah lama mengagumi dengan bakatnya di Stamford Bridge.

United sebelum ini pernah menyatakan pendiriannya untuk tidak mahu menjual Rooney kepada kelab Liga Perdana England lain tetapi tawaran besar yang dikemukakan oleh Roman Abramovich itu pasti membuatkan mereka berfikir dua kali.

Sebelum ini, Arsenal dan Paris St-Germain (PSG) juga dilaporkan sedang memantau perkembangan perjumpaan Moyes dan Rooney selepas memulakan sesi latihan pertama minggu ini.

Masa depannya di Old Trafford terumbang-ambing sejak berakhir musim lalu dengan Alex Ferguson turut menyatakan pemain berusia 27 tahun itu telah meminta untuk dilepaskan, namun dinafikan oleh Rooney.

Pelantikan Moyes mungkin meredakan suasana walaupun mereka berdua pernah berdepan masalah sesama sendiri sebelum ini semasa di Goodison Park. Minat yang ditunjukkan Chelsea itu pasti mencabar peluang United untuk mengekalkan Rooney.

Dua tahun lagi baki kontrak dengan bayaran 250,000 pound seminggu, masalah kewangan dan peribadi mungkin memaksa Moyes menjual Rooney dan jika mahu mengekalkannya, mereka terlepas peluang menambah kantung dana perpindahan di samping membayar gaji pemain itu yang pasti akan melonjak lebih tinggi selepas ini.

Dalam hal berlainan, Jack Wilshere bersedia menerima kehadiran Rooney jika pemain itu berminat ke Arsenal: ''Jika itu berlaku, sudah pasti ia cukup menakjubkan kerana dia adalah salah seorang pemain yang mampu menghadirkan trofi buat pasukan dan melihat namanya sahaja boleh memberikan ketakutan kepada lawan.''

Moyes yang hadir ke padang latihan Carrington telah menyenaraikan tiga rakan setugasnya di Goodison Park iaitu Stev Round selaku penolong pengurus, Chris Woods sebagai jurulatih penjaga gol dan Jimmy Lumsden.

''Saya telah bekerja dengan Steve, Chris dan Jimmy semenjak beberapa tahun dahulu, saya gembira mereka sudi datang ke sini kerana mahu mencari cabaran baharu.

''Mereka memberikan kualiti kepada pasukan dan saya masih yakin dengan daya kemampuan mereka, jadi kami berharap dapat membina kejayaan bersama dalam beberapa tahun ini," katanya. - Agensi


EmoticonEmoticon