15 Ogos, 2013

Ambil ahli keluarga, Guan Eng pun terkedu nak jawab...

GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mahu semua exco kerajaan negeri menyemak jika terdapat ahli keluarga mereka yang berkhidmat dengan kerajaan negeri dan dibayar gaji.

Katanya, tidak ada masalah jika ahli keluarga, termasuk anak ahli exco bekerja dengan kerajaan negeri jika mereka melalui temuduga yang sah dan keputusan menggajikan mereka dibuat oleh pihak lain.

"Tidak ada masalah untuk ahli keluarga membantu selagi mereka tidak menerima gaji oleh kerajaan negeri.

"Ahli exco tidak sepatutnya menggajikan ahli keluarga secara langsung. Namun jika mereka melalui temuduga mengikut cara yang sah serta berkelayakan, sama ada exco lain atau diri saya boleh menggajikan mereka.

"Sudah tentu, akan terjadi juga persepsi masyarakat mengenai perkara ini tetapi kita tidak melantik secara langsung dan mereka bukan dibayar gaji oleh kerajaan negeri," katanya kepada wartawan selepas melawat kerja-kerja pembaikan jalan di hadapan Menara Umno sepanjang Jalan Macalister di sini, hari ini.

Lim berkata demikian selepas terpaksa menjelaskan beberapa pelantikan yang dibuat oleh ahli exco kerajaan negeri yang membabitkan ahli keluarga mereka.

Mereka, termasuk beberapa ADUN Pakatan itu adalah Chong Eng (Bukit Mertajam), Lim Hock Seng (Bagan Jermal) dan Abdul Malik Abul Kassim (Batu Maung).

Beliau mengesahkan anak lelaki Chong Eng sedang membantu ibunya itu secara sukarela dan tidak dibayar gaji oleh kerajaan negeri.

Abdul Malik pula berkata adik perempuannya bekerja di pejabatnya sejak 2008 tetapi meletakkan jawatannya pada bulan ini bagi mematuhi arahan kerajaan negeri pada Mei lalu yang tidak membenarkan ahli keluarga dilantik sendiri oleh ahli exco.

Hock Seng pula mengakui adiknya membantu beliau di kawasan pilihan rayanya tetapi telah meletakkan jawatan.

Sebelum ini, pemimpin pembangkang kecoh apabila mengetahui Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz melantik anaknya, Nedim sebagai pegawai khas di pejabatnya.

Nazri mempertahankan keputusannya itu dengan berkata gaji Nedim tidak dibayar oleh kerajaan dan beliau dilantik bagi memudahkan generasi pengundi baru berhubung dengannya.


EmoticonEmoticon