08 Ogos, 2013

Chong Wei 'semput' sebelum mara

GUANGZHOU - Datuk Lee Chong Wei membuatkan ribuan penyokongnya di Gimnasium Tianhe terpaku seketika selepas mengharungi detik yang amat mencemaskan sebelum melepasi halangan pemain muda Indonesia, Dionysius Hayom Rumbaka untuk melangkah ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia, semalam.

Chong Wei, 30, yang mendapat sokongan padu penyokong tempatan terkejut dengan aksi agresif yang dipamerkan Hayom, namun mujur dia sempat menemui rentak permainannya untuk mencatat kemenangan 14-21, 21-18, 21-11 dalam pertarungan yang berlangsung selama 61 minit.

Selepas menarik nafas lega kerana berjaya mengelak kejutan terbesar kejohanan, jaguh No. 1 dunia itu mengakui, tentangan hebat yang diberikan Hayom menyedarkan dia betapa lebih banyak kejutan bakal menantinya selepas ini.

"Memang saya terkejut dengan permainannya dan itu mendorong saya melakukan banyak kesilapan sendiri, terutama di set pertama. Tengok baju saya hari ini, basah lencun kerana dikerah berkerja keras.

"Bukan dia (Hayom) bermain dengan terlalu bagus tetapi dia telah melakukan persiapan yang baik untuk berdepan saya. Keadaan angin, ditambah permainan saya yang tidak berapa baik hari ini menyebabkan keadaan menjadi sukar.

"Namun dari sudut positif, elok juga saya diuji dengan hebat di pusingan awal kerana ia memberi persiapan yang lebih baik kepada saya untuk menghadapi perlawanan seterusnya. Memasuki peringkat 16 terbaik, cabaran saya akan lebih getir.

"Semua orang tahu, saya akan bertemu ramai pemain-pemain muda dalam laluan ke final, hari ini Hayom kejutkan saya dan saya harus bersiap sedia dengan kejutan-kejutan lain yang bakal diberi pemain muda selepas ini," ujar Chong Wei.

Chong Wei, yang dijangka berdepan bintang muda China, Wang Zhengming pada pusingan ketiga hari ini, namun bagaikan hilang arah di awal permainan dengan memberi terlalu banyak ruang kepada Hayom untuk melakukan pukulan kegemarannya, iaitu smash kencang. - Utusan


EmoticonEmoticon