28 Ogos, 2013

Piala Asia 2013: Malaysia ke separuh akhir tundukan Jepun

IPOH - Malaysia kini berada di landasan memburu kejuaraan hoki Piala Asia 2013 apabila menempah tiket ke separuh akhir menundukkan Jepun 4-2 pada aksi terakhir Kumpulan A di sini, semalam.

Kemenangan tersebut membolehkan Malaysia menamatkan saingan peringkat Kumpulan A selaku naib juara di bawah Pakistan yang menang besar 13-0 ke atas Taiwan dalam aksi sama di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.

Jurulatih kebangsaan, Paul Revington berkata, anak-anak buahnya kini bersedia untuk ke separuh akhir pada Jumaat ini sekali gus mahu menghidupkan peluang memburu gelaran Piala Asia.

“Pasukan telah beraksi dengan baik hari ini (semalam) selain menerima arahan dengan bagus dan harapan untuk ke separuh akhir berjaya dicapai.

“Tumpuan kami kini adalah pada perlawanan separuh akhir kerana misi menjuarai Piala Asia amat penting buat pasukan," kata Revington.

Mengikut format kejohanan, hanya juara kumpulan dan naib juara sahaja layak ke separuh akhir bagi merebut tempat ke perlawanan akhir Ahad ini.

Dalam saingan separuh akhir Jumaat ini, Malaysia dijangka menentang India yang ketika ini hampir pasti menjadi juara Kumpulan B selepas berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang dua pertemuan lalu.

Malah, hari ini India bakal bertemu lawan mudah iaitu Bangladesh pada perlawanan terakhir kumpulan sekali gus berpeluang besar muncul pendahulu.

Sementara itu, pada perlawanan, semalam Jepun bermula baik apabila mendahului skuad kebangsaan dengan dua jaringan menerusi Tachibana Toshiro minit keenam hasil pukulan sudut penalti dan Kawakami Kei pada minit kelapan melalui gol padang.

Bagaimanapun, Malaysia tidak menunggu lama untuk bangkit apabila pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd. Rahim minit ke-14 tepat memasuki gawang lawan sebelum penyerang, Muhammad Firhan Ashaari berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-28 hasil gol padang.

Bermula separuh masa kedua menyaksikan perlawanan berlangsung sedikit perlahan berbanding babak pertama sebelum penyerang sensasi negara, Faizal Saari berjaya menambah jaringan ketiga pada minit ke-60 menerusi pukulan sudut penalti.

Tekanan yang diberikan oleh skuad kebangsaan kepada Jepun menerusi gol ketiga menyebabkan pertahanan lawan goyah hingga memudahkan pemain kebangsan Azlan Misron menambah jaringan keempat minit ke-66 hasil gol padang.

Kekalahan Jepun itu menyebabkan pasukan berkenaan sekadar menamatkan saingan kumpulan di tempat ketiga dengan tiga mata manakala Taiwan di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.


EmoticonEmoticon