02 Ogos, 2013

Puasa dijadikan alasan kekalahan Harimau Malaya?

Sepang: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal mengakui melakukan kesilapan apabila mengadakan latihan pusat dan aksi persahabatan di Jepun pada Ramadan.

Beliau yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekembalinya dari Jepun, semalam, berkata; Saya memperoleh pengajaran betapa bulan Ramadan tidak sesuai untuk bermain dengan kelab yang dikelaskan berada di tahap tinggi.

Diperkotak-katikkan ketika tewas kepada tiga pasukan kelab dari Jepun - Shimizu S-Pulse 2-0, Shonan Bellmare 5-0 dan yang terakhir Tokyo Verdy juga 5-0 - benar-benar mengajar Rajagobal betapa pemain tidak dapat beraksi baik ketika menjalani ibadah puasa.

Bolos dengan 12 gol dalam tiga perlawanan itu memaksa pemain mengerah lebih tenaga untuk beraksi baik dan situasi berkenaan berbeza ketika aksi dengan Chelsea yang dilangsungkan pada sebelah malam.

Tidak mahu beri alasan

"Saya tidak mahu beri alasan lagi tetapi kita kena sedar ketika perlawanan kedua menentang Shonan Bellmare, kita bermain pada jam 11 pagi manakala aksi perlawanan ketiga dengan Tokyo Verdy pula, kita bermain pada jam 3 petang.

Kita boleh nampak pemain keletihan apabila memasuki babak kedua dan ketiga. Daripada situ kita dapat satu kesimpulan betapa bulan Ramadan tidak sesuai untuk bermain dengan kelab yang dikelaskan berada di tahap tinggi, katanya.

Semalam BH Sukan melaporkan bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Hassan mempersoalkan adakah berbaloi pengorbanan pemain kebangsaan yang terpaksa berjauhan dengan keluarga sepanjang Ramadan kali ini berkampung di kem latihan pusat sejak 2 Ramadan lalu apabila kekalahan demi kekalahan dialami mereka.

Ditanya mengenai kritikan banyak pihak berhubung kekalahan dialami Harimau Malaya dalam tiga aksi persahabatan itu, Rajagobal langsung tidak mempedulikan segala kritikan yang dilemparkan kepadanya.

Saya ingin memberikan fokus kepada persiapan pasukan untuk menghadapi Barcelona pada 10 Ogos ini dan menentang Bahrain, 15 Oktober depan pada aksi pusingan Kelayakan Piala Asia 2015, katanya.

Beliau berkata, pengkritik perlu hormat pemain sebab mereka sudah melakukan yang terbaik walaupun pada bulan Ramadan.


EmoticonEmoticon