15 Ogos, 2013

Sami besar mohon maaf, Nooh Gadut ucap terima kasih

JOHOR BAHARU 14 Ogos - Penasihat Majlis Agama Negeri Johor (MAINJ) Datuk Nooh Gadut menghargai permohonan maaf Ketua Sami Buddha Malaysia, Datuk K. Sri Dhammaratana Nayake atas tindakan sekumpulan penganut agama itu dari Singapura mengadakan sesi meditasi di surau sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi, Sabtu lepas.

"Saya ingin mengucapkan penghargaan dan rasa bangga saya terhadap tindakan beliau memohon maaf kepada umat Islam di negara ini semalam. Tindakan ini merupakan suatu langkah yang amat terpuji walaupun beliau sendiri tidak mengetahui perbuatan yang dilakukan oleh warga asing itu.

"Justeru, saya minta seluruh masayarakat Islam menerima permohonan maaf ini serta jaminan bahawa kejadian itu tidak akan berulang, katanya kepada Bernama ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid menyifatkan permohonan maaf itu menggambarkan keprihatinan Ketua Sami Buddha itu terhadap sensitiviti masyarakat Islam negara ini.

Pada masa sama, beliau juga mahukan semua pihak tidak bersikap berlebih-lebihan di dalam reaksi mereka mengenai insiden surau itu sehingga menenggelamkan potensi industri pelancongan.

"Jika pengusaha resort terbabit bersalah, ambil tindakan, yang salah tetap bersalah tetapi janganlah 'berlebih-lebihan', katanya.

Berikutan kejadian itu, pemilik resort berusia berusia 45 tahun direman empat hari bermula semalam, bagi membantu siasatan.

Dia disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu mencemarkan tempat ibadat dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali. - BERNAMA


EmoticonEmoticon