22 Ogos, 2013

Tahniah...Malaysia layak ke Piala Dunia 2014!

Skuad hoki kebangsaan akan mengharungi Piala Asia pada hujung minggu ini yang menyediakan satu tempat ke slot Piala Dunia 2014 di Belanda.
KUALA LUMPUR - Kegagalan Ireland layak ke peringkat separuh akhir Kejohanan Hoki Eropah semalam secara matematiknya mengesahkan tempat Malaysia di Piala Dunia 2014.

Teknikalnya, Malaysia hanya menunggu pengumuman rasmi selepas semua kejohanan antara benua menutup saingan masing-masing.

Ireland menjadi pasukan terakhir yang mampu mencuri tempat ke Piala Dunia selepas Republik Czech dan Poland dari benua Eropah (pasukan yang belum layak melalui kelayakan Liga Hoki Dunia) tersingkir awal selepas mencatat dua kekalahan, namun keputusan seri 2-2 dengan England menyebabkan mereka tercicir tempat ke separuh akhir dan sekadar menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan B, hanya dibezakan dengan perbezaan satu jaringan oleh England yang turut meraih empat mata.

Malaysia yang berada dalam senarai menunggu selepas Sepanyol kini hanya perlu menantikan keputusan secara rasmi kejohanan hoki Oceania yang bakal berlangsung pada 28 Oktober hingga 3 November ini sekiranya gagal menjuarai Piala Asia yang akan bermula pada 24 Ogos ini.

Dalam kejohanan Oceania yang hanya disertai empat negara itu, antara Australia dan New Zealand, salah satunya pasti akan menjadi juara kerana terlalu gagah buat Papua New Guinea (ranking 69 dunia) dan Samoa (ranking 72 dunia).

Mengikut format Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), sekiranya pasukan yang layak menerusi pertandingan Liga Hoki Dunia baru-baru ini menjuarai kejohanan benua masing-masing, slot itu akan diberikan berdasarkan urutan ranking Liga Hoki Dunia.

Sebelum kejohanan mengikut benua bermula, Belgium, Australia, New Zealand, Jerman, Argentina dan England telah layak termasuk Belanda selaku tuan rumah manakala Korea Selatan yang menduduki tempat keempat di Kuala Lumpur berada dalam senarai menunggu pertama diikuti dua pasukan di tangga kelima, Sepanyol dan Malaysia.

Apabila kejohanan Piala Pan American melabuhkan tirainya pada 17 Ogos lalu, Argentina yang telah pun layak muncul juara selepas menewaskan Kanada 4-0 pada perlawanan akhir sekali gus mengesahkan tempat buat Korea Selatan yang menjadi senarai menunggu pertama.

Ini diikuti benua Eropah dengan mana-mana pasukan yang telah layak ke Piala Dunia 2014 menjuarai kejohanan tersebut, slot itu akan diberikan kepada Sepanyol walaupun mereka muncul juara atau sebaliknya.

Seandainya skuad negara menjuarai Piala Asia yang akan berlangsung di Ipoh pada 24 hingga 1 September nanti, India akan menjadi pasukan terakhir layak dalam senarai menunggu selepas Malaysia apabila kejohanan benua Ocenia berakhir nanti.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130822/su_02/Malaysia-boleh-bersiap-ke-hoki-Piala-Dunia-2014#ixzz2cfiSbdeb
© Utusan Melayu (M) Bhd


EmoticonEmoticon