30 September, 2013

Dadah: Saiful Apek bebas lagi...

PETALING JAYA: Nasib menyebelahi pelakon dan pelawak terkenal, Saiful Apek buat kali kedua apabila dia bersama tiga lagi pekerjanya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini daripada tuduhan memasukkan ganja ke dalam badan, tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, 44, Shaiful Baharom, 26; Shah Zainatull Eshan Al Muazam Shah Yahya, 30, serta Noremy Mohamad, 30.

Pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Majistret membebaskan semua tertuduh selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Bagaimanapun pada 22 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan mereka membela diri.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada 11 malam, 12 Jun 2010.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.

Sementara itu ditemui media di luar mahkamah, Saiful Apek bersyukur kerana dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas tiga tahun naik turun mahkamah.

“Saya berterima kasih kepada peguam Mohd Fadly Hashim dan Zamri Idrus yang banyak membantu,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad ketika ditemui memaklumkan pihaknya akan mengemukakan rayuan kes itu ke Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.


EmoticonEmoticon