29 September, 2013

Fitnah harga minyak, SKMM buru si penyebar

CHIBA, Jepun 28 Sept. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung penyebaran isu kenaikan harga minyak RON 95 sebanyak 10 sen yang disebarkan semalam.

Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, tindakan perlu diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengelakkan rakyat terus tertipu dengan perkara-perkara seperti ini.

"SKMM perlu melakukan siasatan segera tentang isu ini dan mereka yang terlibat perlu diambil tindakan berat dan tidak wajar dibiarkan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program Taste of Malaysia di AEON Tsudanuma di sini hari ini.

Beliau mengulas khabar angin bahawa harga petrol RON95 akan naik kali kedua malam tadi.

Hasan berkata, usaha kerajaan membangunkan negara dengan bersungguh-sungguh ketika ini telah dicemburui oleh sesetengah pihak dan terus-menerus mencetuskan suasana huru-hara seperti isu kenaikan harga minyak ini.

"Kita dapat lihat semalam, apabila tersebarnya berita kenaikan berkenaan, orang ramai mula membuat pembelian panik sehinggakan berlaku huru-hara di stesen-stesen minyak. Sebaliknya kerajaan tidak mengumumkan kenaikan tersebut," jelasnya. - UTUSAN ONLINE


EmoticonEmoticon