14 September, 2013

Guru bayar 'duit kopi' untuk pertukaran tempat bertugas

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat dengan terperinci dakwaan guru membuat pembayaran melalui orang tengah untuk tujuan pertukaran.

Jawatankuasa itu ditubuhkan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, menurut kenyataan kementerian , semalam.

Kenyataan itu menyebut, Kementerian Pendidikan amat memandang serius terhadap dakwaan ada guru ingin bertukar menggunakan orang tengah dengan syarat membayar sejumlah wang bagi maksud pertukaran itu.

Isnin lalu, sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai dakwaan di sebuah laman web bahawa wujud pihak yang membuat pembayaran melalui orang tengah setelah kecewa permohonan untuk pertukaran tidak berjaya.

Menurut Kementerian Pendidikan, mengikut prosedur pertukaran guru yang ditetapkan, sebarang pertukaran dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama, termasuk keperluan perkhidmatan, opsyen atau mata pelajaran dan kekosongan di negeri yang dipohon.

Selain itu, terdapat juga isu lain dipertimbangkan antaranya faktor kesihatan kronik dan ancaman keselamatan guru yang memohon.

Dalam hal ini juga, kementerian telah mengambil beberapa langkah tambahan lebih telus dan terbuka.

Sehubungan itu, guru yang tidak berpuas hati atau ingin merayu, boleh terus berbincang secara bersemuka dengan pegawai terlibat, termasuk Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian. - Bernama


EmoticonEmoticon