23 September, 2013

Harimau Muda terlepas aksi final

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Muda A gagal ke final Piala Menpora 2013 selepas tewas 2-0 kepada juara Liga Australia, Central Coast Mariners pada aksi kedua Kumpulan A di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Indonesia, semalam.

Biarpun masih berbaki satu perlawanan menentang Sriwijaya FC, esok, skuad B-23 negara itu yang seri 2-2 dengan Persib Bandung, Jumaat lalu tidak mampu bergelar juara kumpulan untuk ke final, Ahad ini memandangkan Mariners sudah pun mengumpul enam mata.

Tanpa 9 pemain

Namun, bagi jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee, final bukan sasaran utama memandangkan mereka hadir ke Bandung tanpa sembilan pemain luar yang membantu skuad itu menjuarai Pestabola Merdeka di Kuantan, minggu lalu.

“Kami hanya hadir ke sini dengan 18 pemain termasuk tiga penjaga gol. Jadi saya tak dapat membuat penggiliran pemain memandangkan Syahid Zaidon dan Wan Zaharulnizam Zakaria baru pulih. Saya tak mahu ambil risiko.

“Saya mungkin hanya beri mereka berdua aksi 20 hingga 30 minit pada perlawanan ketiga (esok). Pemain lain saya perlu lihat tahap kecergasan mereka selepas beraksi dua perlawanan apabila Irfan Fazail, Fadhli Shas dan Shahrul Saad mengalami sedikit kecederaan.

Perlu beri komitmen

“Mariners kita tahu mereka adalah juara Liga Australia. Tapi yang penting pemain menunjukkan kesungguhan dan jaringan kedua dibolosi ketika kita menyerang untuk mencari gol penyamaan,” kata Kim Swee ketika dihubungi di Bandung selepas perlawanan.

Mariners mendahului menerusi tandukan Matt Simon pada minit ke-42 sebelum gawang Harimau Muda A dikawal Izham Tarmizi Roslan bolos kali kedua menerusi rembatan Mitchell Duke dari tengah kotak penalti, minit ke-89.

“Sama ada layak ke final atau sudah tersingkir, pendekatan kami untuk setiap perlawanan tetap sama. Pemain perlu beri komitmen seratus peratus dan mengekalkan prestasi baik untuk berdepan Sriwijaya FC (esok),” tambah Kim Swee.


EmoticonEmoticon