29 September, 2013

LGE tetap anggap ROS 'berniat jahat' terhadap DAP

PETALING JAYA - [Dikemaskini] Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa, pelaksanaan pemilihan semula jawatankuasa kerja pusat (CEC) pada hari ini adalah bagi mengelakkan daripada "niat jahat" Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membatalkan pendaftaran parti itu.

Guan Eng turut mendakwa, ancaman itu didalangi BN yang menyalahgunakan ROS bagi kepentingan parti perikatan itu untuk menewaskan DAP pada PRU14 akan datang.

"BN hilang akal hendak lawan DAP dan tidak boleh tewaskan DAP lagi. Mereka menyalahgunakan ROS dan main kotor untuk hapuskan DAP dengan mengeksploitasi kejujuran DAP.

"Kita memang akui ada kesilapan lalu, kita pun sudah umumkan kepada satu dunia untuk betulkan kesilapan itu, tetapi BN sendiri tidak mengaku buat silap, mereka tutup kesilapan sendiri sampai habis," dakwanya pada ucaptama pemilihan khas CEC DAP, di Hotel One World, di sini, hari ini.

Pada 18 April lalu, ROS telah menghantar surat kepada DAP memaklumkan bahawa badan itu tidak mengiktiraf pucuk pimpinan CEC DAP yang dipilih pada 12 Disember lalu.

Susulan daripada itu, ROS juga telah mengarahkan DAP pada 31 Julai lalu untuk mengadakan pemilihan semula parti itu yang dilanda kontroversi sejak hujung tahun lepas.

Dalam pada itu, Guan Eng menegaskan DAP tidak akan memberikan sebarang ruang kepada ROS untuk membatalkan pendaftaran parti itu jika enggan meneruskan pemilihan semula CEC itu.

"Semuanya tidak adil dan jahat sekali...kita tidak boleh ambil risiko membiarkan DAP diharamkan walaupun satu hari.

"Buat salah (pemilihan), tidak buat pun salah, hinggakan ROS cuba halang DAP melakukan pemilihan semula CEC walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah benarkan," dakwanya.

Tambah beliau, DAP tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan apa sahaja tindakan untuk menghancurkan parti itu dari arena politik negara ini.

"Selagi DAP dapat sokongan rakyat, DAP akan tetap hidup selama-lamanya.

"Jangan lupa DAP dan PR adalah harapan rakyat, rakyat sokong reformasi dan kita berjaya menang 51 peratus undi popular," dakwanya lagi.


EmoticonEmoticon