02 September, 2013

Pemuda PAS pertikai rancangan rundingan DS Anwar dan BN

PETALING JAYA: Pemuda PAS mempersoalkan tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mengadakan rundingan meja bulat dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) tanpa merujuk kepada pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat terlebih dahulu.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, Anwar perlu merujuk sebarang keputusan dengan Majlis Presiden Pakatan Rakyat sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan untuk bertemu dengan BN.

“DPPM merasa musykil mengapa Datuk Seri Anwar begitu beriya-iya mengajak kerajaan berbincang sedangkan sebelum ini begitu teruk Presiden PAS dan pimpinan PAS yang lain dihentam ketika cadangan mengajak kerajaan BN mengadakan perbincangan?

“Dalam hal ini, DPPM sekadar mengingatkan Datuk Seri Anwar agar berhati-hati dalam permainan politik musuh

“Apa yang dibimbangkan adalah beliau terperangkap dengan politik individu atau segolongan mereka yang berkepentingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan ke-56 minggu lalu memberi tawaran kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya segera mengadakan rundingan meja bulat antara kerajaan BN dan Pakatan Rakyat bagi membincangkan isu semasa yang semakin kritikal.

Antaranya isu perpecahan perkauman, peningkatan jenayah, defisit fiskal ekonomi dan eksploitasi hal-hal keagamaan.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk mengenepikan perbezaan dan persengketaan keputusan pilihanraya umum lalu (PRU13) demi masa depan negara.

“Meski pun kami membantah sekeras-kerasnya tentang kesahihan keputusan pilihanraya yang lepas, kami bersedia untuk mengetepikan perbezaan kami demi negara kesejahteraan dan masa depan.

“Dalam hal ini, kami percaya bahawa adalah penting bagi Perdana Menteri untuk segera mengadakan rundingan meja bulat antara kerajaan BN dan Pakatan Rakyat bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan dan merumuskan satu penyelesaian yang menyeluruh,” katanya pada 30 Ogos lalu.

Raja Ahmad menegaskan, Majlis Presiden serta pimpinan Pakatan Rakyat perlu meneliti cadangan Anwar itu supaya Pakatan akan masih kekal dinilai rakyat sebagai layak dan mampu memerintah negara selepas PRU-14 akan datang.

Walau bagaimanapun, beliau berkata pihaknya masih menganggap baik cadangan itu agar kemelut negaa dapat ditangani da rakyat mendapat manfaat.

“Tanggungjawab membina negara adalah amanah yang perlu dipikul bersama dan setiap pemimpin perlu merasa prihatin terhadap pergolakan negara dengan memberikan respons atau sebarang kerjasama,” katanya.


EmoticonEmoticon