29 September, 2013

'ROS! jangan main-main dengan DAP' - Karpal

PETALING JAYA - [Dikemaskini] Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini memberi amaran kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS), supaya jangan 'bermain-main dengan parti itu kerana mereka akan terus teguh berdiri walaupun pelbagai sekatan yang dikenakan oleh badan tersebut.

Menurutnya, DAP merupakan sebuah parti yang kuat serta mendapat sokongan majoriti daripada rakyat pada PRU13 yang lalu.

"Saya ingatkan ROS bahawa DAP parti yang teguh.

"Jadi jangan 'main-main dengan DAP," katanya ketika memberi ucapan pembukaan bagi sesi pemilihan semula jawatankuasa kerja pusat (CEC) DAP yang berlangsung, di One Utama Hotel, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, dalam ucapannya juga beliau turut memuji ahli DAP yang terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada parti tersebut.

"Apa yang saya lihat dalam dewan ini, hampir 85 peratus yang hadir.

"Ini menunjukan DAP terus mendapat sokongan, kita kuat," katanya.

Tambah Karpal lagi, parti DAP tidak akan berputus asa dan akan terus berjuang sehingga berjaya mengambil alih kuasa pentadbiran kerajaan Pusat daripada BN pada PRU14 nanti.

"Kita akan buktikan pada PRU14 nanti. Walaupun dikenakan pelbagai tekanan, kita akan buktikan bahawa DAP sebuah parti yang boleh hadapi apa-apa sahaja cabaran, kita tidak mudah mengalah," tegasnya.

Pemilihan semula CEC ini diadakan berikutan tindakan ROS yang telah memutuskan DAP perlu mengadakan pemilihan semula CEC selepas badan itu tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh parti berhubung dakwaan berlaku penyelewengan pengundian dan manipulasi undi membabitkan 547 perwakilan pada pemilihan yang diadakan 15 Disember tahun lepas.

Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman yang difailkan oleh seorang anggota DAP untuk menghalang parti itu daripada mengadakan kongres khas hari ini untuk memilih semula CEC seperti yang diarahkan ROS.


EmoticonEmoticon