10 September, 2013

'Tergamak mohon tukar agama'

RAZALI Shahabudin (kiri) bersalaman dengan peserta Nadwah Ulama Nusantara Kelima di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bandar Baru Bangi, Selangor, semalam.
KUALA LUMPUR 9 Sept. - Pengikut-pengikut tegar Syiah sanggup memohon untuk diisytiharkan keluar daripada Islam semata-mata bagi mengamalkan ajaran itu secara terbuka.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Razali Shahabudin berkata, perkara itu diketahui menerusi ratusan salinan surat permohonan yang diterima pihak Jakim.

Katanya, surat-surat yang turut disertakan bersama salinan kad pengenalan pengikut itu dengan jelas berniat untuk mendapatkan perkenan atau kelulusan Jakim bagi menukar agama.

"Kita tidak boleh berkompromi dalam konteks membanteras Syiah yang semakin serius ini, sama ada sedar atau tidak, kita betul-betul dicabar.

"Secara terang-terangan mereka menguji kekuatan iman dan kekuatan pegangan kita sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya ketika berucap dalam Nadwah Ulama Nusantara Kelima di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof. Dr. Mohd. Nasran Mohamad.

Nadwah Ulama Nusantara yang bertemakan 'Ulama dan Cabaran Idealisme Semasa' itu antara lain membincangkan cabaran yang dihadapi golongan ulama dalam menangani permasalahan yang dihadapi masyarakat kini.

Dalam perkembangan sama, menurut Razali, semua pihak harus mengambil tanggungjawab memerangi Syiah secara lebih agresif menerusi penjelasan kepada masyarakat tentang penyelewengan ajaran itu.

Katanya, langkah itu penting kerana isu penyelewengan fahaman Syiah melibatkan persoalan fundamental iaitu kedudukan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Memerangi Syiah dan mempertahankan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan tanggungjawab fardu seluruh masyarakat terutama para ulama dan cendekiawan Islam, justeru Jakim menyeru golongan ini supaya perlu dan mesti sentiasa ke hadapan.

"Oleh itu, golongan ulama tidak boleh berselisih faham walaupun berbeza ideologi, sehingga mengabaikan penyatuan akidah dan melemahkan kedudukan agama," katanya.

Sementara itu, Razali berkata, Jakim komited melaksanakan forum dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai salah satu usaha menjelaskan kepada golongan muda tentang isu-isu semasa Islam.

"Ruang dan peluang selama dua jam yang diberikan itu cukup istimewa kerana dapat berbincang dan menjelaskan secara terperinci tentang isu Syiah dan lain-lain permasalahan agama kepada pelajar-pelajar baharu," katanya.

1 comments so far

Apakah yang mendorong serta apakah yang menghalang pihak JAKIM untuk tidak memenuhi permintaan merika?.Letakkan saja status agama di mykad itu dengan perkataan shiah bagi ruangan agama itu.Kita dengan ini mudah mudah bolih mengenali merika ini dengan jelas.Katakan siapakah yang dapat memberi pertunjuk selain dari allah terhadap orang yang akan disesatkan allah.


EmoticonEmoticon