28 Oktober, 2013

Bekas Hakim Syariah hina Maidam, Sultan Terengganu didakwa

KUALA TERENGGANU 27 Okt. - Bekas Ketua Hakim Syariah Kuala Terengganu dihadapkan ke Mahkamah Syariah di sini atas dua pertuduhan kerana menghina dan mempertikaikan pihak berkuasa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan arahan Sultan Terengganu berhubung penstrukturan semula majlis itu pada Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Ismail Yahya, 57, didakwa melakukan perkara itu pada 29 Oktober 2012, bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syariah Kamalruazmi Ismail oleh Ketua Pendakwa Raya, Mustafar Hamzah.

Bagi pertuduhan pertama, Ismail didakwa bertindak secara bertulis menghina Maidam melalui suatu surat yang dihantar kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu.

Dalam surat tersebut, kata-kata yang ditulis seperti; "Oleh yang demikian jelas kelihatan bahawa usaha Maidam untuk mengambil alih dan meletakkan pentadbiran Mahkamah Syariah Terengganu di bawah kawalannya adalah merupakan satu usaha ke arah melakukan perbuatan maksiat. Adalah menjadi tanggungjawab ke atas sesiapa yang bertanggungjawab supaya tidak memberi sokongan ke atas usaha sedemikian itu".

Bagi pertuduhan kedua di lokasi dan tarikh yang sama, tertuduh juga didapati bertindak secara bertulis melalui suatu surat yang ditujukan kepada SUK mempertikaikan arahan Sultan Terengganu sebagai Ketua Agama Islam yang telah mengampuni perkenan pelaksanaan penstrukturan baru Institusi Pentadbiran pejabat Maidam sebagaimana yang telah dinyatakan dalam minit mesyuarat Maidam kali ke-5 pada 21 Oktober lalu.

Antara kata persoalannya; "Adakah cadangan yang hendak dilaksanakan Maidam itu bermaksud mahu mencampuradukkan kuasa kehakiman ke dalam kuasa pentadbiran? Seterusnya timbul pula persoalan apakah hukumnya mengikut Hukum Syarak mencampuradukkan kuasa kehakiman ke dalam kuasa pentadbiran?".

Selain itu, tertuduh turut menyoal; "Adakah tindakan Maidam yang sedang berusaha dan bersungguh-sungguh mahu meletakkan pentadbiran Mahkamah Syariah Terengganu di bawah kawalannya itu, bererti tidak mahu mengikuti Hukum Syarak dan peruntukan undang-undang yang tersedia dalam negara kita baik pada peringkat negara mahupun peringkat negeri?".

Sehubungan itu, Ismail dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun mahkamah kemudian membenarkan Ismail yang tidak ditemani peguamnya diikat jamin sebanyak RM800 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 26 Februari depan untuk tarikh perbicaraan.


EmoticonEmoticon