21 Oktober, 2013

MB Selangor sedia terima teguran tapi...

Abdul Khalid (duduk, dua kanan) ketika sidang media, semalam.
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedia menerima teguran daripada mana-mana pemimpin, malah menyifatkan ia adalah perkara biasa dalam pentadbiran.

Bagaimanapun katanya, beliau lebih menitik beratkan teguran dan kritikan daripada rakyat berbanding pemimpin lain.

“Atas sebab itu, dalam setiap konvensyen mahupun perbincangan apabila menerima teguran saya terima dengan positif dan cuba perbetulkan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Tanah dan Perbandaran Kebangsaan, semalam.

Sebelum ini, Pengerusi PKR Selangor, Mohamed Azmin Ali menggesa Abdul Khalid untuk mengambil serius teguran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim demi kepentingan rakyat dan bukannya bertujuan menjatuhkan tetapi teguran membangun demi pentadbiran kerajaan negeri.

Anwar baru-baru ini, dilaporkan menegur Khalid secara terbuka dalam ceramahnya pada forum Laporan Audit Negara, agar tidak lagi berbangga dengan simpanan rizab tinggi sementelah masih banyak kelemahan belum diatasi pentadbiran menteri besar itu.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, beliau tidak menafikan kerajaan negeri memiliki simpanan yang banyak sehingga mencecah RM3 bilion tetapi prinsip pembangunan dalam Islam tidak jelas.

Dalam perkembangan sama, Abdul Khalid menafikan menerima sebarang memorandum bantahan daripada Adun-Adun sebagai penyataan berhubung tadbir urus bajet kewangan negeri.


EmoticonEmoticon