09 Oktober, 2013

Pekerja Malaysia kurang masa bersama keluarga

KUALA LUMPUR: Kajian terkini yang dikeluarkan oleh JobStreet.com menunjukkan bahawa majoriti rakyat Malaysia yang bekerja kurang masa bersama keluarga kerana kesibukan dan beban tugas yang banyak di pejabat.

Dalam laporan itu, hampir 63 peratus responden yang terlibat dalam kaji selidik oleh agensi pencarian kerja itu mengakui mereka tidak meluangkan banyak masa di sisi keluarga kerana masa bekerja terlalu panjang.

Manakala, hampir 70 peratus menghabiskan masa kira-kira dua hingga lima jam di luar waktu kerja setiap hari.

"Alasan utama responden bekerja masa lebih adalah kerana perlu menyiapkan kerja dengan cepat dan bebanan kerja yang banyak.

"Dengan tekanan kerja yang dihadapi pekerja untuk melengkapkan tugasan, pekerja menghabiskan masa di pejabat sekurang-kurangnya 9 ke 5 jam waktu pejabat," kata JobStreet dalam satu kenyataan hari ini.

Lebih mengejutkan, 75 peratus responden memilih untuk tidak meninggalkan pejabat malah terdapat juga pekerja yang tidak dibayar walaupun bekerja lebih masa.

Kajian tersebut yang melibatkan 954 pekerja dalam pelbagai industri turut mengeluh terpaksa bekerja walaupun sedang bercuti kerana sering mendapat tugasan kecemasan yang perlu disiapkan dengan cepat.

"54 peratus responden berkata mereka ada mengambil cuti tahunan tetapi hampir kesemuanya mendapat pesanan kecemasan daripada ketuanya.

"Hanya 25 peratus berkata mereka tidak mendapat gangguan semasa bercuti manakala 78 peratus tidak menutup telefon bimbit mereka supaya boleh dihubungi sepanjang masa," kata Jobstreet lagi.

Walaupun majikan mengambil inisiatif untuk menggalakan kehidupan bekerja seimbang, rata-rata pekerja mendapati ia tidak membantu kerana bebanan kerja yang perlu ditanggung mereka terlalu banyak serta tidak sempat untuk berehat.

Pengurus JobStreet di Malaysia, Chook Yu Yng menegaskan sesebuah syarikat perlu memastikan wujud keseimbangan antara kerja dan kehidupan bagi mengelakkan pekerja berdepan tekanan sehingga akan mengganggu produktiviti kerja mereka.

"Keseimbangan kehidupan bekerja adalah mengenai pengurusan yang berkesan antara kerja dan aktiviti lain yang penting untuk kita.

"Syarikat perlu meningkatkan strategi keseimbangan kerja dan kehidupan untuk kakitangan mereka kerana ia adalah salah satu cara yang paling mudah dan berkesan untuk memastikan mereka yang terlibat segar semula, dan bermotivasi," kata Chook.

Bagi menangani masalah tersebut, pekerja yang terlibat dalam kajian itu memberi beberapa pandangan antaranya mencadangkan syarikat memberi masa fleksibel di mana pekerja boleh memilih masa bekerja serta memperkenalkan polisi untuk menggalakkan pekerja bekerja kurang daripada 40 jam seminggu daripada waktu kerja ditetapkan antara 9 ke 6 jam setiap hari.

Menurut Kementerian Sumber Manusia, Malaysia memiliki sejumlah 12 juta tenaga kerja di Malaysia setakat ini.


EmoticonEmoticon