24 November, 2013

Cina PAS (DHPP) kecewa PAS lebih memilih DAP

SHAH ALAM: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) ternyata kecewa dengan layanan pilih kasih pimpinan PAS Pusat terhadap sayap rasmi parti itu.

Ketuanya, Hu Pang Chow meluahkan kekecewaannya bagi pihak seluruh perwakilan DHPP dalam sesi bahas ucapan dasar Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Muktamar Tahunan PAS kali ke-59 di hadapan 1129 perwakilan PAS hari ini.

Menurut beliau, PAS dilihat lebih cenderung memilih DAP untuk bekerjasama dengan mereka berbanding DHPP sendiri dan secara tidak langsung situasi itu menimbulkan rasa kurang senang DHPP kepada pimpinan pusat.

"DHPP sudah ada dalam arus perdana sejak 2010, tetapi malangnya masih ada lagi pimpinan diperingkat negeri mahupun pusat mereka lupakan DHPP, mereka cenderung memilih DAP, kata mereka DAP lebih mewakili masyarakat Cina.

"Tapi saya nak ingatkan, bila sudah bernikah dengan Aminah, jangan lagi ingat Fatimah," katanya dalam ucapan perbahasan itu.

Beliau juga mengingatkan semua ahli PAS di setiap peringkat untuk tidak melupakan DHPP dalam setiap urusan rasmi yang diadakan bagi menghargai segala usaha dan kerja yang dilaksanakan pihak DHPP sejak bersama parti tunggal Islam negara itu beberapa tahun yang lalu.

"Oleh kerana DHPP merupakan sayap rasmi parti dalam PAS maka saya berharap PAS Pusat, PAS Perhubungan Negeri, dan PAs cawangan akan menjemput DHPP menghadiri mesyuarat yang akan diadakan itu.

"Biar kita kongsi cadangan dan teguran bersama dan menghadirkan satu keputusan yang dapat diterima di semua peringkat di Malaysia ini," katanya lagi.

Hu turut menyuarakan soal kad keahlian bagi seluruh ahli DHPP yang sudah dimohon sejak tiga tahun lalu yang sehingga kini masih belum dapat diselesaikan pihak pimpinan PAS Pusat.

Beliau memberikan tempoh sehingga Disember tahun ini untuk PAS memberikan kad keahlian kepada DHPP.


EmoticonEmoticon