19 November, 2013

PAS Kelantan hilang sabar dengan Karpal Singh

TANAH MERAH 18 Nov. - Pas Kelantan menuntut permohonan maaf daripada Pengerusi DAP, Karpal Singh yang didakwa berbohong apabila menafikan kenyataan beliau meminta pendaftaran Pas dibatalkan.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, permohonan maaf itu perlu sekiranya Karpal telah mengeluarkan kenyataan itu kerana beliau sudah banyak kali menyentuh sensitiviti Pas.

Menurutnya, permohonan maaf juga perlu dibuat atas dasar Pas adalah ahli pakatan pembangkang iaitu rakan sekutu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Kalau dia buat-betul buat kenyataan seperti dilaporkan, memang patut minta maaf kerana yang pertama Pas dalam pakatan rakyat dan kedua, dia selalu menyentuh sensitiviti jadi memang patutlah (minta maaf)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Amar mengulas desakan Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) yang memberi tempoh kepada Karpal untuk memohon maaf berikutan pembohongannya yang menafikan beliau pernah mengeluarkan kenyataan meminta Pas dibubarkan.

Naib Ketua DPPP, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob seperti dilaporkan berkata, permohonan itu perlu dibuat dalam tempoh diberi jika tidak DPPP akan membuat tindakan susulan termasuk memanjangkan perkara itu kepada Majlis Syura Ulama untuk tindakan selanjutnya.

Sabtu lalu, Raja Ahmad Iskandar mendakwa beliau mempunyai cakera padat (CD) yang mengandungi rakaman penuh sidang akhbar selama 25 minit 47 saat yang dibuat Karpal di Pulau Pinang, 5 November lalu bagi membuktikan Ahli Parlimen Gelugor itu berbohong.

Mengulas mengenai sikap Karpal, Mohd. Amar berkata, pemimpin itu kini sedang keseorangan dalam pakatan pembangkang sehingga banyak mengeluarkan kenyataan.

"Karpal ini biarkanlah dia. Sekarang dia sendiri sahaja macam ni dalam pakatan semua yang dia cakap tidak mewakili pakatan," katanya.


EmoticonEmoticon