21 November, 2013

Pengundi Bangla: Penafian menjijikan Anwar

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Selepas gagal membuktikan dakwaan kerajaan membawa masuk sebanyak 40,000 pengundi luar dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, pembangkang dilihat seolah-olah membuat pusingan U apabila cuba menafikan pernah membuat tuduhan itu.

Sebaliknya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuding jari kepada penulis pro-UMNO kononnya memanipulasi isu itu.

Anwar berkata, pembangkang tidak pernah menuduh kerajaan membawa sebanyak 40,000 warga Bangladesh tersebut sebaliknya hanya menyentuh tentang dakwaan membawa pengundi dari luar pada hari mengundi awal.

"Saya hendak jelaskan sedikit bersabit Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya mengelirukan Dewan Rakyat dalam ucapan belanjawan, beliau kata pakatan rakyat menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendaftar 40,000 pengundi Bangladesh.

"Kita sudah jelaskan dan kita sudah buat 'pencarian dalam internet' sama ada, ada atau tidak kenyataan sebegini? Dalam penelitian kita, kita tidak ada kenyataan sebegini, yang ada adalah pengundi dibawa dengan pesawat termasuk orang luar dari Sabah dan Sarawak," katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menafikan pembabitan warga Bangladesh dalam proses demokrasi di Malaysia dan menolak dakwaan pembangkang kononnya sebanyak 40,000 rakyat negara itu mengundi dalam pilihan raya umum lalu.

Najib dalam pertemuannya dengan Sheikh Hasina ketika lawatan rasmi beliau ke negara itu memberitahu, pemimpin Bangladesh berkenaan turut menggeleng kepala tanda tidak percaya dengan dakwaan kononnya rakyatnya terbabit dalam proses pengundian di negara ini.

Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, kenyataannya sebelum ini mengenai pengundi luar hanya menyentuh mengenai beberapa pengundi awal yang mempunyai rekod warganegara luar.

Sebelum ini, media sosial yang berpihak kepada pembangkang memainkan isu kononnya kerajaan membawa masuk 40,000 warga asing untuk mengundi BN dalam pilihan raya umum lalu.

Malah, Anwar seperti dipetik menerusi portal KeadilanDaily pada 2 Mei lalu pernah mendedahkan penglibatan Jabatan Perdana Menteri (JPM) membawa masuk 40,000 pengundi ragu dari Sabah dan Sarawak sejak 25 April lalu.

Anwar menerusi laporan itu turut mendakwa mendapat maklumat kemasukan secara tiba-tiba warga Thailand, Kemboja, Pakistan dan Myanmar dalam jumlah yang besar di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, manakala kemasukan rakyat asing Indonesia di Pelabuhan Klang.

Namun, apa yang menghairankan, laporan bertajuk 'Anwar dedah JPM terlibat seludup 40,000 pengundi hantu' itu turut disertakan gambar hiasan warga Bangladesh yang sedang beratur dipercayai di sebuah lapangan terbang.

Ekoran penyiaran artikel dan gambar itu juga, penyokong pembangkang terutama menerusi media sosial menggambarkan seolah-olah kerajaan membawa masuk warga Bangladesh sebagai pengundi.

Ketaksuban penyokong pembangkang terhadap tuduhan itu juga menyebabkan berlaku kes rakyat Malaysia dihalang mengundi kerana didakwa bukan warganegara.


EmoticonEmoticon