24 November, 2013

Pesuruhjaya Sukan sahkan pelantikan Annuar - Zolkples

KUALA LUMPUR - Majlis Sukan Negara (MSN) selaku sekretariat Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara memaklumkan bahawa pelantikan bekas Presiden Bolasepak Kelantan (KAFA) dan bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa selaku ahli jawatankuasa program berkenaan adalah sah

Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, pelantikan itu tidak bercanggah dari segi perundangan ekoran penggantungan Annuar yang didapati bersalah melanggar Artikel 88 FAM sebelum ini.

"Pihak majlis telah pun merujuk status Tan Sri Annuar yang digantung oleh FAM sehingga 4 Oktober 2014 kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan," katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Jelas Zolkples, secara dasarnya Annuar boleh dilantik sebagai ahli jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara seperti mana yang dicadangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

"Ini berdasarkan kepada penggantungan terhadap Tan Sri Annuar adalah di bawah peruntukan perlembagaan atau statut FAM sendiri dan bukannya Akta Pembangunan Sukan (APS) 1997.

"Peruntukan Seksyen 25 APS 1997 tidak terpakai kepada Tan Sri Annuar kerana peruntukan ini adalah berkenaan akibat tindakan penggantungan atau pembatalan yang dikenakan oleh Pesuruhjaya Sukan ke atas badan sukan atau mana-mana orang dan bukannya oleh FAM," katanya.

Ujar Zolkples, status Annuar juga dianggap sah kerana kuasa untuk melantik mana-mana orang sebagai ahli dalam apa-apa jawatankuasa yang difikirkan perlu adalah kuasa yang diperuntukkan oleh APS 1997 kepada Menteri Belia dan Sukan.

"Sebagai makluman, Tan Sri Annuar mempunyai pengalaman yang luas dan idea-idea bernas dalam arena bola sepak tanah air dan pelantikannya adalah berdasarkan kepada merit berkenaan untuk membantu jawatankuasa merancang, merangka dan melaksanakan aktiviti-aktiviti pembangunan bola sepak negara.

"Jawatankuasa juga berperanan sebagai platform setiap ahli memberikan cadangan dan pendapat bagi penambahbaikan perancangan pembangunan bola sepak negara," tegasnya.

Zolkples berkata, jawatankuasa itu juga dianggotai oleh wakil daripada FAM dan mana-mana ahli yang dilantik oleh Menteri Belia dan Sukan bukannya bertujuan untuk melaga atau mengeruhkan hubungan baik sedia terjalin antara MSN khususnya dan Kementerian Belia dan Sukan amnya dengan FAM atau mana-mana pihak kerana jawatankuasa berkenaan adalah semata-mata untuk menjayakan aspek pembangunan bola sepak negara khususnya membabitkan pemain berumur dari tujuh hingga 17 tahun.


EmoticonEmoticon