19 Disember, 2013

Dua remaja perempuan dicabul dan dirogol 'polis'

Klang: “Saya polis” modal digunakan seorang lelaki bukan saja untuk menyamun wang, barang berharga dan kad tambah nilai dengan menyamar sebagai polis, malah turut merogol dan mencabul dua remaja perempuan yang menjadi mangsanya.

Lelaki berusia 25 tahun itu merogol seorang remaja berusia 16 tahun selepas menahan mangsa yang membonceng motosikal rakannya di Taman Gembira jam 8 malam, 12 November lalu, sebelum mencabul seorang lagi remaja berusia 17 tahun di kawasan sama, 12 Disember lalu.

Bagaimanapun ‘kuasa’ polis dimiliki lelaki itu tidak berpanjangan apabila dia ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dalam serbuan di rumahnya di Pandamaran jam 12 tengah hari kelmarin.

Suspek yang pernah dihadapkan ke mahkamah sebelum ini kerana kesalahan sama, melakukan kegiatan jenayah itu seorang diri mensasarkan mangsa belasan tahun untuk diperas ugut.

Dalam kejadian terbaru 12 Disember lalu, suspek menahan motosikal dinaiki remaja perempuan itu yang ditunggang rakan lelakinya di Taman Gembira, sebelum mencabul remaja itu dan menyamun barangan berharga dan wang mangsa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, siasatan mendapati suspek terbabit dengan tiga kes menyamar sebagai anggota polis serta merogol seorang remaja perempuan yang ditahannya.

Beliau berkata, suspek biasanya mendekati mangsa dan memperkenalkan dirinya sebagai polis walaupun tidak menunjukkan kad kuasanya apabila diminta.

“Mangsa yang bimbang dengan ugutan suspek mahu membawa mereka ke balai polis untuk tindakan lanjut, biasanya menurut arahannya.

“Suspek akan meminta mangsa membeli kad tambah nilai sebelum melarikan barangan berharga,” katanya.


EmoticonEmoticon