30 Disember, 2013

Gusar teman lelaki 'insaf' kerap ajak berzina

Gambar hiasan
Saya berusia awal 20-an, bekerja serta tinggal di ibu kota. Saya mempunyai seorang teman lelaki yang lebih tua dan masih belajar. Hubungan kami menjangkau lima tahun.

Saya mengaku kami agak jahil sebelum ini dan terlampau mengikut nafsu sepanjang tahun terawal perkenalan sehingga pernah terlanjur.

Saya insaf dan cuba berhenti melakukan dosa itu. Akhirnya, saya me­ngambil keputusan berhenti kerja dan pulang ke kampung halaman.

Saya mengambil peluang di kampung untuk menenangkan fikiran serta mendekatkan diri dengan Allah.

Pada masa yang sama, saya turut mengajak teman lelaki mendekatkan diri dengan Allah. Saya nampak ada perubahan dirinya seperti mula solat dan membaca surah Yasin setiap malam Jumaat.

Saya sudah bertekad tidak mahu lagi melakukan maksiat dan ingin mencari pekerjaan di kampung dan tinggal bersama keluarga.

Namun, malangnya saya sukar mendapat pekerjaan dan akhirnya selepas beberapa bulan, saya ditawarkan bekerja di ibu kota semula.

Teman lelaki saya masih cuba untuk menjalin hubungan seperti dulu. Saya menolak dan berterus terang padanya tidak mahu lagi melakukan dosa.

Saya ingin mengajaknya berubah bersama saya tapi dia tidak dapat menerima keputusan itu kerana baginya ia sesuatu yang terlalu drastik.

Dia pernah memberitahu untuk memutuskan hubungan kami, tapi saya tidak mahu kerana masih sayang padanya, begitu juga dirinya.

Kami sebenarnya sudah merancang untuk berkahwin akhir tahun depan, namun saya buntu dan tidak tahu apa perlu dilakukan. Patutkah saya memutuskan hubungan kami?

BUNTU,
Kuala Lumpur


Penghijrahan adik untuk tidak melakukan perbuatan dosa adalah satu kekuatan dan amat dipuji. Dr gembira dengan tindakan itu dan berharap adik akan berterusan melakukan perkara baik dalam hidup.

Memang dalam mencari kebenaran, adik akan banyak menghadapi cabaran termasuk ajakan demi ajakan daripada kekasih untuk terus menjalin hubungan dan perbuatan seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

Dr juga melihat jika teman menyayangi adik, dia tidak akan meminta untuk melakukan sesuatu yang membabitkan perkara dosa kerana adik tidak suka melakukannya.

Dr amat faham bukan mudah untuk memutuskan sesuatu hubungan cinta yang menebal. Ia ibarat memecahkan tembok yang gah kerana memerlukan kekuatan luar biasa untuk meruntuhkannya.

Namun, ada kalanya tembok itu perlu diruntuhkan jika ia hanya membawa lebih banyak kesengsaraan. Begitu juga dengan satu hubungan yang tidak dapat membawa kepada satu titik persamaan dan pertemuan.

Hubungan itu akan lebih banyak memakan diri masing-masing.

Perancangan adik berdua untuk berkahwin adalah satu perkara yang amat baik. Ia satu cara untuk mengelak daripada terus melakukan perbuatan dosa.

Dr doakan adik dapat mencari satu jalan peng­akhiran yang akan membawa kebahagiaan tanpa membabitkan dosa.


Kaunseling Remaja @ Harian Metro


EmoticonEmoticon